Dahulunya, wanita ini merupakan antara pimpinan kawasan yang aktif dalam menabur bakti kepada masyarakat sekitar.
Terlibat hampir 20 tahun dalam dunia politik menjadikan Sabariah Ramli dikenali masyarakat baik golongan muda mahupun tua.
Kini Sabariah tidak lagi sekuat dan seaktif dahulu sejak dirinya menderita sakit barah gusi.
Dia hanya mampu bergantung dengan pertolongan anak saudara yang menjaga di rumah keluarganya di Kampung Pekan Baru.
Adik Sabariah, Shamsiah Ramli, 55, berkata, semasa sihat bergiat aktif dalam Wanita Umno Cawangan Pekan Baru dan memegang jawatan sebagai Ketua Wanita Cawangan.
“Sebut sahaja apa aktiviti, pastinya dia akan turut serta, begitu juga dengan kerja kemasyarakatan yang melibatkan kenduri kendara dan sebagainya, pastinya dia akan sampai.
“Tapi itu dululah, sewaktu dia sihat, kini dia menderita akibat sakit barah gusi dan lama kelamaan keadaannya tidak sedaya dahulu lagi,” katanya.
Katanya, kakaknya disahkan menghidap barah gusi tahap tiga pada September tahun lepas.
“Pada mulanya gusinya terasa sakit dan dia pun sekadar makan ubat seperti biasa, tak dapatkan rawatan yang selanjutnya lagi.
“Lama-kelamaan keadaannya mula menjadi teruk dan bimbang dengan keadaannya itu, kami membawanya ke hospital, dan ketika itu dia disahkan menghidap barah gusi tahap tiga,” katanya.
Menurutnya, Sabariah kini tidak dapat makan seperti biasa dan hanya boleh minum susu dengan protein sahaja.
“Buat masa sekarang dia tak boleh makan lagi sebab masih dalam rawatan lanjut, sekarang dia dijaga oleh anak serta adik saya.
“Kalau nak diikutkan kos barangan keperluannya mencecah ratusan ringgit, buat masa ini kami masih belum membuat permohonan untuk mana-mana bantuan,” katanya.
Nasib Sabariah kemudiannya mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang hadir menziarahinya bersama kepimpinan Umno Bahagian Tasek Gelugor.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya berkata, program ziarah yang diadakan kali ini memfokuskan kepada lawatan dan penyampaian sumbangan kepada pesakit di kawasan Parlimen Tasek Gelugor dan di Dun Teluk Air Tawar.
“Untuk program ini, kita bersama-sama jawatankuasa dan kepimpinan peringkat bahagian menziarahi beberapa pesakit di kawasan ini.
“Dalam lawatan ini juga ia secara langsung dapat mendekati rakyat dan memahami keadaan serta situasi yang dialami mereka, pada masa sama memberikan semangat serta sokongan kepada pesakit-pesakit ini,” katanya.
Turut hadir sama dalam sesi ziarah ini, Adun Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid.
Sumber: Sinar
Sumber Dulu aktif tabur bakti, kini bekas pemimpin Umno ini menderita barah gusi