Kumpulan Estranged meminta wanita bernama Eziana Abdul Aziz tampil menyelesaikan kes penipuan tawaran konsert Rockfest anjuran Apple Music di London pada 25 Disember lalu.
Anggota Estranged yang terdiri daripada Solihuddin Hormat, 32, Richard Lawrence Gimbang, 34 dan Nor Hanafi Noor Hadi, 34, menerusi peguam mereka sudah mengemukakan saman kepada Eziana pada 23 Disember lalu.
Menurut Solihuddin, wanita itu kini gagal dihubungi selepas menyedari tembelangnya pecah namun mendapati dia masih aktif di Facebook.
“Peguam kami turut memaklumkan kepada Eziana mengenai saman kami menerusi Facebook dan emel, namun dia tidak memberi sebarang jawapan.
“Wanita itu rakyat Malaysia yang menetap di London dan kami percaya dia masih di sana,” katanya dalam sidang media di Desa Sri Hartamas, di sini, hari ini.
Solihuddin berkata, Estranged menuntut bayaran saman sebanyak RM100,000 daripada Eziana sebagai kos ganti rugi dan teladan.
“Kes ini menyebabkan kami tertekan pada masa sama berasa malu kerana sudah menghebahkan mengenai konsert itu kepada media.
“Malah, kami turut menolak tawaran persembahan dari Oktober hingga Disember kerana mahu fokus terhadap konsert berkenaan,” katanya.
Menurutnya, penipuan wanita itu disedari mereka selepas menerima emel mendakwa wang pendahuluan sebanyak £5,000 (RM25,000) ke akaun syarikat milik Estranged disekat Bank Negara.
“Ketika itu, barulah kami tersedar ditipu Eziana berikutan emel terbabit meminta kami menyerahkan beberapa maklumat peribadi untuk meneruskan transaksi itu,” katanya.
Dalam pada itu, Solihuddin berkata, Estranged akan lebih berhati-hati ketika menerima undangan di laman sosial supaya kejadian sama tidak berulang pada masa depan.
“Kami sudah biasa menerima undangan persembahan menerusi Facebook. Jadi, pada mulanya memang kami tidak mengesyaki apa-apa kerana segala dokumen dikemukan wanita itu kelihatan betul.
“Lagipun kami turut bertemu dengannya sebanyak dua kali di ibu kota,” katanya.
Sumber: Metro
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW