“Perkara positif yang saya terima daripada semua ini ialah kawan-kawan ambil berat pasal diri saya dan keluarga,” kata seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ezrin, 28, selepas majlis pernikahannya dibatalkan 21 hari sebelum berlangsung.
Menurutnya, perkongsiannya menerusi Twitter yang ‘trending’ menyebabkan dia dihujani kata-katanya semangat daripada ramai pihak termasuk rakan lama.
“Saya berterima kasih pada dia (bekas tunang) buat macam ini kerana saya dapat berhubung kembali dengan rakan lama.
“Saya ada ucapkan terima kasih kepada yang bagi saya semangat, beri motivasi dan itu (berkongsi di Twitter) membantu saya hadapi perkara ini,” katanya yang bekerja sebagai pereka bentuk dalaman.
Berkongsi mengenai kisah mahligai impiannya yang musnah selepas hampir enam bulan membuat persiapan, Ezrin berkata, dia cuba memujuk bekas tunang selepas kali pertama wanita itu menyatakan hasrat untuk putus pada 18 November.
“Kami secara rasminya tiada apa-apa hubungan 31 Disember lalu selepas berkenalan tiga tahun dan bertunang 9 Julai 2016,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Lebih mendukacitakan, semua persiapan di pihaknya sudah disiapkan sebelum majlis pernikahan yang dirancang pada 21 Januari ini.
“Separuh kad kahwin sudah dicetak, dewan sudah ditempah, cenderamata sudah sedia, hantaran sudah siap, pakaian dan katering semua sudah ada membabitkan kos RM30,000.
“Saya masih belum selesaikan urusan pembatalan ini, tak tahu apa perlu buat dan ada nasihatkan untuk berjumpa peguam untuk selesaikan kes ini,” katanya.
Ezrin berkata, selepas ini dia bercadang untuk menumpukan kepada kerjaya dan hobi menjelajah dunia dengan menunggang basikal.
“Saya sudah bincang dengan keluarga dan saya nak fokus dengan kerjaya dan teruskan aktiviti saya menjelajah menggunakan basikal yang saya mulakan sejak 2010.
“Saya rasa lega sebab sudah selesai walaupun dia tinggalkan saya tanpa sebab dan saya positif, dia ada sebab sendiri,” katanya.
Ezrin pernah berbasikal secara solo ke 22 negara sebelum pulang ke Malaysia untuk bertemu dengan bekas tunangnya buat kali pertama pada 20 Oktober 2014.
Sumber: Harian Metro
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW