Seorang pembantu kedai menanggung derita berganda kerana bukan sahaja nyaris buta malah wajahnya melecur 100 peratus selepas tersembam ke dalam minyak panas ketika sedang menggoreng kuih.
Kejadian malang itu berlaku kira-kira jam 8 pagi, 7 Januari lalu semasa mangsa, Che Hasnor Marlia Che Mat, 22, sedang bekerja di sebuah kedai makan di Yellow Town, Chukai.
Abang mangsa, Che Affendi Che Mat, 29, berkata, insiden ngeri itu berlaku kerana adiknya itu secara tiba-tiba pitam ketika sedang menggoreng.
“Kebetulan pemilik kedai masa tu ada sebelah adik, jadi dia segera tarik adik dari kuali panas sebelum dia sapukan susu pekat dan tepung gandum untuk elak kesan melecur lebih teruk.
“Saya yang segera bergegas ke Hospital Kemaman selepas dihubungi adik pada jam 8.50 pagi hanya mampu kesat air mata bila tengok keadaan wajahnya yang terpaksa ditutup kain basah,” katanya ketika dikunjungi Sinar Harian di kediamannya di Kampung Bukit Teruna, Kijal.
Che Affendi yang juga pemandu lori tangki Kemaman Bitumen Company (KBC) berkata, berikutan kecederaan pada wajah yang serius adiknya itu kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu kira-kira jam 12 tengah hari pada hari yang sama.
Lebih memilukan, bapa kepada tiga anak itu berkata, kejadian itu menimpa adiknya pada tarikh yang sama ibu mereka meninggal dunia pada lima tahun lalu.
Akibat tragedi hitam itu sebahagian telinga sebelah kiri Che Hasnor Marlia yang merupakan anak bongsu dari lima beradik turut melecur dan minyak panas turut memasuki mata kanan mangsa.
Kata Che Affendi, sehingga kini adiknya masih ditahan di wad dan dijaga bapa mereka, Che Mat Musa, 49, yang juga pengawal keselamatan di KBC.
“Sampai sekarang emosi adik masih belum stabil dan lebih dikesalkan kerana gambar adik yang melecur diviralkan dalam media sosial.
“Saya harap ia tidak terus disebarkan. Kasihanilah adik saya yang sedang kumpul kekuatan untuk hadapi ujian berat ni,” katanya lagi.
Sumber: Sinar
Sumber Pitam semasa menggoreng, wajah pembantu kedai melecur 100% dan nyaris buta selepas tersembam ke dalam minyak panas