“Saya tiada kuasa nak hukum orang, biarlah polis tentukan. Saya di sini terus bekerja untuk mencari rezeki”

“Saya tiada kuasa nak hukum orang tapi kalau benar bersalah biarlah polis atau mahkamah tentukan,” kata Nasrul Faiz Zulfahmi, 25, berhubung penahan reman sekumpulan individu yang dipercayai memukulnya di Bukit Antarabangsa.

Enam individu termasuk seorang wanita berusia 28 hingga 42 tahun itu ditahan reman empat hari sejak Ahad lalu bagi membantu siasatan berhubung insiden terbabit.

Nasrul berkata, dia tidak terlalu memikirkan isu berkenaan kerana segala tindakan polis dan keputusan lanjut bukan terletak pada dirinya.

“Saya sudah pun memulakan kerja sebagai pemandu lori sejak kelmarin dan kebanyakan barang dihantar sekitar Kuala Lumpur.

“Segala keputusan biarlah polis tentukan. Saya di sini terus bekerja untuk mencari rezeki,” katanya.

Ditanya berhubung tahap kesihatannya, Nasrul berkata, biarpun luka pada lehernya semakin pulih, dia kerap mengalami sakit kepala.

“Tidak pasti kesan daripada pukulan itu atau tidak, namun saya kerap juga sakit kepala.

“Setakat ini dua jenis ubat yang saya makan iaitu antibiotik dan untuk memulihkan luka,” katanya katanya ketika dihubungi, di sini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Nasrul dikatakan terlanggar kereta yang diparkir di belakang lori dipandunya.

Beberapa lelaki yang berada berhampiran kawasan berkenaan dikatakan mengamuk sebelum membelasahnya.

Akibat daripada itu, Nasrul terpaksa menerima 14 jahitan di bawah telinga hingga bahagian leher kirinya.

Sumber: Harian Metro



Sumber “Saya tiada kuasa nak hukum orang, biarlah polis tentukan. Saya di sini terus bekerja untuk mencari rezeki”

Post a Comment

Previous Post Next Post