Taja Kelantan, untung MARA catat kenaikan 300%

Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mempertahankan tindakan menaja skuad bola sepak Kelantan yang disifatkan berjaya meningkatkan imej 2 entiti itu.

mara_kafa_600

“Penajaan pasukan bola sepak adalah kaedah pemasaran sama seperti melalui media cetak, elektronik dan kaedah lain. Ia bagi memaksimumkan kebolehlihatan jenama syarikat kepada masyarakat umum.

“Keputusan penajaan TRW (The Red Warriors) dibuat secara pentadbiran amalan biasa…dan atas dasar komersil,” kata Pelaburan Mara Berhad (PMB) dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, keuntungan PMB mencatat kenaikan hampir 300% pada 2016 berbanding tahun sebelumnya dan menjadi penyumbang utama keuntungan Mara pada tahun sama, iaitu sebanyak 60%.

Isu penajaan Mara dan UniKL dibangkitkan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa menggunakan “wang rakyat” melalui 2 entiti itu untuk menaja TRW.

Annuar yang juga bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pada mulanya menafikan dakwaan itu, sebelum mengubah nadanya keesokannya.

Dalam pada itu, UniKL berkata, ia menaja skuad Kelantan pada 2013 yang merupakan pasukan paling berjaya dan mempunyai ramai penyokong ketika itu.

Seperti PMB, UniKL berkata, penajaan dibuat secara pentadbiran dan menggunakan dana khusus untuk promosi tanpa melibatkan peruntukan bagi tajaan pelajar.

“Penajaan memberikan impak besar kepada UniKL apabila berjaya menarik lebih ramai pelajar. Pelaburan itu memberi pulangan besar dan memperkukuhkan lagi jenama UniKL,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selepas kontroversi penajaan itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan sebarang penajaan selain pendidikan oleh Mara dan UniKL ditangguhkan serta akan mendapatkan laporan lengkap daripada kedua-dua entiti itu.

 

Sumber: FMT



Sumber Taja Kelantan, untung MARA catat kenaikan 300%

Post a Comment

Previous Post Next Post