Wajah kacak, Jeffrydin ‘digilai’ peminat wanita

PENYANYI Datuk Jeffrydin memang cukup sinonim dengan irama Pop Yeh Yeh yang melalui zaman kegemilangan sekitar era 1960-an. Sepanjang bergelar artis rakaman, penyanyi yang berasal dari Singapura ini menghasilkan lebih 30 buah album.

Jeffrydin

Mengimbas detik awal penglibatannya dalam bidang nyanyian, pemilik nama sebenar Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman ini memberitahu, tawaran bergelar artis rakaman selepas bergelar juara sebuah pertandingan nyanyian.

“Saya minat menyanyi dan suka menyertai pelbagai pertandingan nyanyian dan dalam masa yang sama menunjukkan bakat yang ada.

“Menerusi pertandingan tersebut saya beberapa kali dinobatkan sebagai juara sehingga pada tahun 1964, sorang wakil syarikat rakaman Philip Recording menawarkan untuk bergelar artis dan di situlah bermula segala-galanya,” ujarnya.

Terkenal dengan ‘trademark’ menyanyi sambil menggoyangkan badan, Jeffrydin cukup popular dengan lagu-lagu seperti Kenanganku, Seruling Anak Gembala, Mas Mona, Siti Haida dan Pertemuan.

Keunikan suara dan gaya persembahannya di pentas membuatkan nama Jeffrydin sentiasa menjadi bualan dan kerap dipilih menjayakan persembahan di serata negeri ketika itu.

“Pada waktu itu, saya seangkatan dengan rakan-rakan seperti A. Ramlee dan M. Osman dan sentiasa dilihat bersaing antara satu sama lain apabila sama-sama mendapat perhatian baik dari penganjur persembahan mahupun peminat.

“Apa pun kami bertiga bersaing secara sihat malah masing-masing ada penampilan berbeza ketika di pentas selain kelebihan tersendiri.

“Ketika itu hampir setiap hari jadual saya dipenuhi undangan menyanyi di merata tempat sehingga kadang-kadang saya tidak sempat membuat perkara lain kerana banyak masa dihabiskan dengan kerja,” katanya.

Menurut Jeffrydin, pada ketika itu kebanyakan artis rakaman mendapat sokongan dan perhatian yang begitu hebat daripada peminat dan setiap persembahan mendapat sambutan luar biasa.

“Tidak kiralah di mana pun kami membuat persembahan, peminat memang sering memberikan sambutan yang hebat sehinggakan pernah ada insiden pernah persembahan roboh akibat diserbu penonton yang ketika itu begitu teruja dengan kehadiran kami.

“Saya pernah berdepan situasi itu ketika menjayakan persembahan di Tanjung Karang (1966) dan Kota Bharu (1967) apabila pentas kami roboh kerana terlalu ramai menghampiri pentas semata-mata mahu melihat kami dari dekat,” imbasnya.

Memiliki rupa paras yang kacak ketika zaman mudanya, Jeffrydin menjadi antara penyanyi lelaki yang ‘digilai’ ramai peminat wanita, malah ada di antaranya begitu fanatik dan sanggup melakukan apa sahaja.

“Bila ingat balik tentang karenah peminat ini kadang-kala saya ketawa sendiri kerana ketika zaman itu mereka begitu menyanjung kami sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengajak saya berkahwin.

“Pernah juga ketika membuat persembahan di Stadium Merdeka sekitar tahun 1967, saya pernah ditarik peminat sehinggakan baju hampir terkoyak dan entah macam mana juga dalam masa yang sama ada pula yang sempat menggunting sedikit rambut saya untuk disimpan sebagai kenangan.

“Walaupun kadangkala apa yang mereka lakukan itu di luar jangkaan kita, saya tidak pernah marah atau mempersoalkan tindakan itu sebaliknya sering mengingatkan bahawa saya tidak boleh memberi tumpuan hanya kepada individu tertentu sahaja kerana saya milik masyarakat,” katanya yang pernah mendapat 200 pucuk surat setiap hari.

Suatu yang menarik tentang peminat Jeffrydin juga, setiap kali penyanyi ini bakal menjayakan persembahan, mereka akan membuat permintaan khas agar penyanyi itu memakai pakaian mengikut warna kegemaran mereka.

“Saya seorang yang mementingkan penampilan setiap kali muncul membuat persembahan dan akan memastikan warna atau rekaan baju sesuai.

“Dalam masa yang sama peminat juga suka membuat permintaan khas supaya mengenakan baju warna sekian-sekian untuk persembahan yang bakal diadakan dan sebagainya.

“Kalau diikutkan, saya suka warna biru dan pink untuk pilihan pakaian, namun sesekali saya mengikut permintaan peminat.

Meski sudah lebih separuh dekad dalam bidang seni, Jeffrydin masih belum terfikir untuk bersara sebaliknya terus aktif selagi peminat masih menerimanya.

Dalam perkembangan terbaru, bapa kepada tiga anak ini sekali lagi bakal tampil membuat persembahan di pentas Istana Budaya menerusi Konsert Gegar Pop Yeh Yeh yang bakal diadakan pada 3 hingga 5 Mac depan.

“Alhamdulillah saya sangat bersyukur apabila muzik Pop Yeh Yeh masih lagi diterima sehingga kini. Kami akan diberi peluang menghiburkan penonton dengan muzik yang menjadi darah daging kami.

“Konsert kali ini sangat istimewa dan disebabkan itu saya buat pertama kalinya mahu menyanyikan lagu berbahasa Inggeris untuk peminat yang masih memberi sokongan setelah sekian lama tidak membuat persembahan dengan lagu antarabangsa walaupun dulu saya sering menyanyikan lagu-lagu begini di persembahan pentas,” katanya yang cukup meminati Elvis Presley ini.

 

Sumber: Sinar Harian



Sumber Wajah kacak, Jeffrydin ‘digilai’ peminat wanita

Post a Comment

Previous Post Next Post