Pasangan selebriti popular, Shaheizy Sam, 35 dan isterinya, Syatilla Melvin, 26, dijangka memfailkan saman terhadap label pakaian tempatan, Elle Zada dalam masa terdekat.
Berkata kepada UTUSAN ONLINE, Syatilla menjelaskan, sehingga ke hari ini pemilik label pakaian tersebut masih tidak membayar sesen pun jumlah bayaran yang sepatutnya mereka terima.
“Ketika kami berkolaborasi dengan label tersebut pada musim perayaan Aidilfitri tahun lalu, ada perjanjian yang telah dipersetujui kedua-dua pihak.
“Namun entah bagaimana, pihak Elle Zada berhadapan masalah untuk menyiapkan baju yang ditempah pelanggan mereka, sekali gus membuatkan nama baik kami berdua terjejas,” katanya.
Disebabkan hal itu, Syatilla berkata, dia dan suami sedang berbincang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik syarikat pakaian berkenaan.
Menurut aktres tersebut, sejujurnya dia dan Sam berasa simpati kepada para stokis serta ejen yang turut menjadi mangsa keadaan.
“Bagaimanapun, saya bersyukur, selepas insiden ini berlaku, ia memberi inspirasi dan dorongan kepada kami untuk membuka sendiri butik SamSyatilla yang baru beberapa bulan beroperasi.
“Ejen dan stokis Elle Zada kami ambil dan serapkan di bawah butik SamSyatilla supaya mereka tidak rasa begitu terkesan atas situasi yang terjadi,” jelasnya.
Butik milik pasangan itu terletak di Sering Ukay, Ulu Klang, di sini dan menjual aneka jenis pakaian lelaki serta perempuan dengan harga berpatutan.
“Di butik ini juga, kami ada menjual semula pakaian ketika saya anak dara dulu, sebelum berhijab. Ada sebahagiannya masih baharu dan belum dipakai.
“Ada juga beberapa pakaian milik Sam yang baru sekali dua digunakannya turut dijual di sini,” tambahnya.
Sumber: UTUSAN ONLINE
Sumber Tak dapat bayaran sesen pun, Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin bakal saman Elle Zada