Tiada Niat Cabar Pihak Yang 'Hantar' Ilmu Hitam - Emma Akma



Hidupnya hampir musnah dek kerana hasad dengki. Namun itu tidak pernah membuatkan dia menyesal dengan apa yang berlaku dan sudah berlarutan hampir dua dekad yang lalu.
Mengakui yang dirinya kini semakin pulih dan semakin kuat menghadapi dugaan yang diberikan, pelakon Emma Akma yakin segala perkara buruk yang berlaku mempunyai hikmah dan apa yang perlu menghadapinya dengan tenang.
“Apa lagi yang saya tak lalui? Disihir sudah, disantau pun sudah dan perut juga sudah pernah busung. Tak mengapa, sehingga hari ini saya masih lagi kuat menghadapinya dan saya percaya Allah ada bersama.
“Saya tak tahu apa lagi yang mereka mahukan daripada saya. Perkara ini bukan lagi benda baharu dan semuanya sudah saya hadapi. Macam-macam penderitaan yang sudah dilalui termasuklah muka membengkak, keluar macam-macam benda dari badan dan habis ratusan ribu ringgit.
“Rasanya kalau tengok kisah-kisah lama yang pernah dikeluarkan sebelum ini, semuanya sudah tahu. Tak mengapa, saya semakin kuat menghadapinya,” katanya seperti yang dilaporkan Utusan.
Beberapa minggu lalu, Emma memuat naik beberapa keping gambar yang memaparkan beberapa benda asing yang berjaya dikeluarkan daripada badannya setelah berjumpa dengan seorang pengamal perubatan di Jengka 17, Pahang.
Semuanya berpunca apabila dia menderita sakit badan yang teruk sehingga tidak mampu untuk bergerak beberapa minggu yang lalu. Kebetulan rakannya datang ke rumah dan terus membawanya ke sana bagi menjalani perubatan alternatif.
Mengakui keberaniannya memuat naik perkara berkenaan di Facebook bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang lain, dia menegaskan tidak berniat untuk terus mencabar pihak yang ‘menghantar’ ilmu hitam kepadanya.
Tambahnya, ada beberapa rakan baik yang mahu dia tidak terus bercerita tentang rawatan yang diterima namun dia hanya mahu memberikan solusi kepada orang yang senasib dengannya ditimpa musibah yang sama.
"Bukan tujuan saya nak mencabar ‘mereka’ menghantar ilmu hitam lagi. Saya cuba nak orang di luar sana tahu ada alternatif jika mereka berhadapan dengan perkara yang sama. Jangan sesekali mengalah dan teruskan mencari ikhtiar.
"Apa-apa sekalipun kena ke hospital dahulu. Jangan sesekali menolak perubatan moden. Kemudian barulah cari jalan lain. Ini yang saya amalkan sejak dahulu,” tegasnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post