4 Polis ditahan lindungi pengusaha air ketum dan lori

Empat anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah apabila bersekongkol dengan pengusaha air ketum dan lori.

 

Menurut sumber, dua suspek yang masing-masing berpangkat Inspektor dan koperal ditangkap di Raub, Pahang dan Pulau Pinang, dalam operasi berasingan antara pukul 9 pagi dan 1 tengah hari Isnin.

“Kedua-kedua suspek berusia 33 dan 31 tahun, disyaki telah mengambil rasuah antara RM2,000 dan RM3,500 untuk melindungi pengusaha-pengusaha air ketum.

“Perniagaan air ketum ini dipercayai dapat memperoleh pendapatan bersih sehingga RM350 sehari, menjadi punca kenapa pengusaha tidak kisah untuk membayar wang perlindungan itu,” katanya.
Menurut sumber, dua lagi polis, masing-masing berpangkat sarjan mejar dan koperal ditahan SPRM kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukan mereka untuk meminta dan mengambil rasuah daripada pengusaha-pengusaha pengangkutan lori.

Tambahnya, kedua-dua suspek berusia 57 dan 53 tahun ditahan di Kulim, Kedah antara pukul 9 pagi dan 10 pagi Isnin.

“Kedua-duanya disyaki telah meminta dan mengambil rasuah antara RM850 dan RM900 secara bulanan daripada pengusaha-pengusaha pengangkutan  lori,” katanya.

Difahamkan, pengusaha-pengusaha lori diminta untuk membayar sejumlah wang sebagai balasan supaya tidak dikenakan saman di atas beberapa kesalahan lalu lintas yang sering dilakukan.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan kesemua tangkapan tersebut.

Beliau menambah, keempat-empat suspek akan direman pada Selasa bagi membantu siasatan.

Sumber: MStar



Sumber 4 Polis ditahan lindungi pengusaha air ketum dan lori

Post a Comment

Previous Post Next Post