“Memalukan!” Demikian ungkapan bekas exco Kelantan terhadap parkir tingkat bawah sebuah pasar di negeri itu yang digenangi air.
Kompleks Bazar Abdul Rahman Auf, milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), dinamakan sempena sahabat Nabi yang kaya.
“Namun keadaannya memalukan. Bahagian bawah dipenuhi air sejak sekian lama. Pusat pembiakan nyamuk yang ideal,” katanya, kini penasihat Parti Amanah Negara (Amanah) negeri.
Husam, wakil rakyat Salor, juga menyindir jika kawasan parkir itu ditambah air, ia boleh “menjadi kolam ikan” untuk menarik pelancong.
“Jika diletak ikan arapaima, mungkin boleh menarik kunjungan pelancong,” kata bekas naib presiden PAS itu di Facebook.
Jika kerajaan negeri itu prihatin, tambahnya, sebuah pam sudah mencukupi untuk mengeringkan kawasan itu.
Husam turut memuatkan beberapa keping foto keadaan daif Kompleks Bazar Abdul Rahman Auf dan tapak pasar lama Pasir Mas yang kelihatan bersepah.
“Jika dibersihkan dan dihias menjadi taman kecil, rasanya lebih menepati Membangun Bersama Islam,” katanya lagi.
Sumber: Projek MMO
Sumber “Memalukan! Parkir pasar di Kelantan jadi ‘kolam biak nyamuk’..” – Husam Musa