Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh meminta penduduk di luar bandar supaya memiliki minda kelas pertama dengan tidak terus berada di belakang dan mengharapkan sokongan orang lain untuk maju ke hadapan.
Katanya, sikap merendah diri dan anggapan tidak mampu untuk maju ke hadapan perlu diubah kerana dunia tanpa sempadan kini menuntut setiap orang perlu berusaha untuk maju manakala yang malas akan terus ketinggalan.
“Ramai penduduk kampung (luar bandar) yang hidup miskin tetapi telah terbukti mampu mengubah hidup mereka dengan menukar cara hidup dengan lebih banyak berusaha seperti yang dibuktikan oleh anak-anak penduduk kampung yang berjaya dalam pendidikan.
“Mereka mampu melanjutkan pendidikan hingga ke luar negara dan berjaya menjawat jawatan tinggi,” katanya ketika berucap pada program pemimpin bersama rakyat di Masjid Al Faqeh, Balik Bukit di sini semalam.
Anggota parlimen Besut berkata kini ramai para doktor dan jurutera termasuk ahli korporat yang lahir dari kalangan anak-anak penduduk kampung pada satu ketika dahulu merupakan orang miskin.
Justeru, Idris mahu penduduk tidak terus kecewa sekiranya mereka berada dalam kalangan golongan miskin sebaliknya sanggup berusaha mengubah hidup dengan mempunyai cita-cita luar biasa dengan usaha yang lebih. — Bernama
Sumber: Projek MMO
Sumber “Orang kampung perlu ada minda kelas pertama, jangan harap sokongan orang lain untuk maju” – Menteri