Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat tindakan silap dengan menamakan Mario Gomez sebagai ketua jurulatih walaupun warga Argentina itu dianggap lebih berpengalaman daripada Datuk Ong Kim Swee.
Langkah drastik Tunku Mahkota Johor (TMJ) tidak menjamin kejayaan segera termasuk pada kelayakan Piala Asia 2019, Jun ini selagi bola sepak negara masih ketandusan ‘bahan’ (pemain berbakat sebenar).
“Anda bawa mana-mana jurulatih bernama besar dari negara mana sekali pun, tidak menjamin kejayaan selagi tiada material,” kata sayap kanan negara pada Sukan Olimpik Munich 1972, Abd. Rahim Abdullah kepada Utusan Malaysia.
Katanya, Gomez memang berjaya mengemudi Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang Piala AFC 2015 tetapi membawa sebuah skuad kebangsaan jauh berbeza.
Abd. Rahim turut meramalkan Gomez, 60, mungkin hanya mampu meraih sedikit kejayaan bersama Harimau Malaysia.
“Hendak pulihkan bola sepak kita ambil tempoh agak lama, TMJ kena tengok struktur pembangunan persatuan negeri. Adakah liga negeri berjalan? Macam mana pula pembangunan pemain peringkat sekolah.
“Dulu kita ada akademi bola sepak tetapi tidak dikendalikan dengan baik. FA (persatuan negeri) sekarang hanya berminat melabur dalam pasukan Liga Malaysia,” katanya.
Seorang lagi legenda bola sepak negara, Datuk Shukor Saleh menggesa TMJ memberi keutamaan kepada pembangunan dan skuad kebangsaan.
“Menggantikan Kim Swee dengan Gomez memang sudah ada dalam perancangan awalnya jadi ia bukanlah tindakan mengejutkan atau drastik.
“Jurulatih ini sudah berada dalam Liga Malaysia sejak 2015 dan mungkin sudah kenal siapa pemain yang berpotensi.
“TMJ sudah beri jaminan akan pantau perkembangannya dalam tempoh tertentu. Kalau tidak menyerlah, jurulatih pun akan ditukar,” kata Shukor.
Sumber: Utusan Online
Sumber Rahim kata tindakan TMJ gantikan Kim Swee dengan Gomez satu kesilapan