DIA diberitakan telah bercerai, tetapi tidak ada sebarang pendedahan yang dibuat oleh empunya diri sebelum ini. Kita pun hanya mengetahui hal sensitif itu melalui pendedahan di laman sosial milik pelakon yang dikenali dengan nama Zarina Anjolie ini.
Pancaindera ambil kesempatan, cuba menjejaki Zarina di kediaman ibunya di Nilai, Negeri Sembilan. Terkejut juga apabila kehadiran ke kediaman klasik milik keluarganya disambut dengan penuh mesra oleh pelakon ini seisi keluarga.
“Saya ni popular lagi ke? Ada orang kata saya artis tak popular. Tapi bila bercerai orang sibuk pula nak tahu,” kata Zarina penuh makna dalam bahasa cukup mesra.
Sejak bernikah dengan Pengiran Ilham Syazwan, 27, ini kali pertama kami bertentang mata. Tentu sahaja banyak perkara yang dibualkan termasuklah kisah peribadi yang menjadi rahsia antara kami.
Walaupun berdepan dengan penceraian awal tahun ini, wajahnya tidak sugul. Bagaikan melepaskan sebuah beban yang sudah lama terpikul di bahunya, terpancar kegembiraan di wajahnya seakan tiada masalah yang melanda.
“Jika sudah tiada persefahaman, untuk apa lagi meneruskan perkahwinan?” Demikian, Zarina membuka bicara. Bagai mengetahui tujuan kedatangan kami ke sana, dia juga tidak betah untuk menunggu lama membuka cerita.
Bagi wanita ini, dia tidak pernah sesal dengan takdir hidupnya. Mengakui lelaki berasal dari Brunei Darussalam tersebut merupakan pilihan hatinya dahulu, dia pasrah dengan jalan untuk bercerai setelah menerima kehadiran anak, Awangku Gabriel Martin Ezra, enam bulan.
Berhadapan dengan perkara yang paling ditakuti oleh kebanyakan wanita, Zarina tidak pernah menyesalinya. Apa yang terjadi kepada mereka merupakan pengajaran terbaik kepada dia dan bekas suami pada masa ini.
Terpacul keluar soalan yang sedikit jahat, adakah dia akan kembali membuka tudung selepas bercerai, dia hanya tersenyum menjawab pertanyaan tersebut.
“Insya-Allah, saya tetap akan bertudung sampai bila-bila. Benar, dahulu saya bertudung kerana perkahwinan. Tapi bila sudah bercerai, tudung ini tetap akan ada di kepala ini. Jangan risau, saya tak akan tanggalkan hanya kerana hal ini.
“Sejak kecil lagi saya sudah bertekad nak mengenakan tudung bila sudah berkahwin. Itu sudah menjadi azam saya sebenarnya. Tapi tidak bermakna saya melakukannya sebab ikatan perkahwinan, sebaliknya dilakukan kerana Allah.
“Kalau orang kata saya akan membuka tudung kembali lepas bercerai, tanggapan mereka salah. Saya sudah ada anak dan perlu tunjukkan contoh yang baik. Saya sendiri perlu berubah untuk menjadi lebih baik sehari demi sehari,” katanya, ikhlas.
Mereka tak bagi duit pun
MENYELAMI hati wanitanya tentu sahaja sukar untuk diduga apa yang sedang bersarang. Menolak andaian dia resah saat berpisah dengan suami, Zarina menafikan tanggapan tersebut sambil menegaskan ini yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak.
“Saya akui hubungan kami berlangsung atas dasar cinta pada awalnya. Hanya setelah lapan bulan mengenali lebih rapat, kami terus ambil keputusan untuk berkahwin ketika itu. Macam biasa, semuanya berlangsung baik-baik sahaja pada awal perkahwinan.
“Tapi bila sudah hidup bersama, ternyata macam-macam perkara yang berlaku kepada kami. Visi kami tentang perkahwinan juga berbeza sebenarnya. Dia pula masih muda dan itu juga menjadi punca terbesar. Satu persatu masalah muncul sehinggalah saya nekad untuk bercerai setelah kehadiran Gabriel,” katanya.
Sejak bercerai awal Januari yang lalu, Zarina mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air bagi membesarkan permata hatinya. Dalam tempoh itu, hanya sesekali dia akan ke Brunei bagi menguruskan perniagaan yang diusahakan di sana.
Pun begitu dia beruntung kerana hubungan dengan bekas suami masih berjalan baik tanpa sebarang masalah. Mereka sering kali berkomunikasi bersama terutama bagi mengetahui tentang keadaan Gabriel yang semakin lasak.
Berhadapan dengan penceraian pada usia 30 sebenarnya memberikan ‘rahmat’ buat dirinya. Bukan gembira dengan hal tersebut tetapi Zarina mengakui lebih tenang menghadapinya dek kerana semakin matang menghadapi kehidupan.
Mengakui yang dia sudah banyak berubah dan meninggalkan ‘perangai gila’ yang sinonim dengan dirinya satu ketika dahulu, ujian perhubungan pula hadir menjengah.
“Memang usia turut memainkan peranan yang besar dalam hal ini. Jika penceraian ini berlaku ketika usia 20-an, mungkin macam-macam hal tak jangka yang akan berlaku. Mujur saya sudah semakin berusia dan matang menghadapinya, setidaknya tidak ada perkara luar biasa terjadi walaupun impian hidup bahagia tidak terlaksana,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon yang terkenal dengan filem Amir dan Lokman Pergi Ke Laut itu juga reda dengan kata-kata yang dilemparkan segelintir peminat yang mengecam dirinya. Sedar, ramai yang masih mengata dan terus memberikan persepsi negatif kepadanya tatkala mendengarkan berita keruntuhan istana cinta yang dibina itu, apa sahaja komen yang dilemparkan tidak pernah meninggalkan kudis.
“Saya tahu ada yang berkata macam-macam tentang saya. Ada yang sudah mengagak perkahwinan saya tak akan kekal lama. Tak ada masalah pun memandangkan mereka tidak tahu apa yang berlaku.
“Lagi satu bukan mereka yang bagi saya makan, mereka tak beri saya duit setiap bulan. Jadi biarlah mereka nak kata apa sekalipun asalkan saya gembira dengan kehidupan mendatang,” tegasnya.
Banyak ‘jantan’ muncul
BERHADAPAN dengan gelaran janda, bukan satu hal yang manis untuk diperkatakan. Kebanyakan wanita begitu membenci gelaran tersebut serta tak kurang juga yang seboleh-bolehnya mengelak untuk ‘menyandang’ gelaran tersebut.
Bagi wanita ini, tiada apa yang harus dimalukan dengan gelaran itu.
“Buat apa nak malu dengan gelaran janda? Kalau janda berduit orang tak kisah pun. Yang paling ditakuti kalau digelar janda tak berduit. Itu realiti yang berlaku kepada masyarakat kita.
“Pada saya kalau bergelar janda sekalipun, kena pandai cari duit dan jangan sesekali mengharapkan duit lelaki. Kebanyakan wanita takut bergelar janda kerana mereka bergantung hidup kepada suami. Bila timbul masalah perhubungan ramai yang memendam rasa.
“Daripada hidup bersuami yang menyusahkan dan memberikan banyak masalah, baik solo sahaja!” katanya.
Selain itu, Zarina turut mendedahkan yang pelbagai ujian hadir saat umum mengetahui dia sudah bergelar janda. Paling ketara apabila dia digoda oleh ramai lelaki termasuklah beberapa suami artis popular tanah air.
“Benar, sejak berita penceraian saya diperkatakan, tiba-tiba sahaja ‘jantan’ begini muncul. Ada yang ajak berjumpa dan tak kurang juga yang menghantar mesej untuk berkenalan dengan lebih dekat lagi.
“Tidak takutkan kecurangan mereka dihidu oleh isteri masing-masing? Yang mengurat pun dikenali ramai dan bukan orang biasa. Tak tahulah nak jadi apa, esok yang nampak jahat saya juga!” katanya mendedahkan rahsia.
Enggan menamakan siapakah lelaki yang dimaksudkan, Zarina menganggap perkara tersebut adalah dugaan buat dirinya. Tegasnya, dia belum terfikir untuk mencari pengganti secepat ini dan tumpuannya adalah untuk membesarkan Gabriel terlebih dahulu.
Bercerita mengenai kehidupan terkini, Zarina yang kini menetap bersama ibunya di Nilai, Negeri Sembilan sedang mengusahakan bisnes kesihatan menggunakan jenama Beauty By ZA yang memberikan tumpuan kepada penjagaan intim wanita.
Sumber: Utusan
Sumber Zarina Anjoulie mengaku bertudung sebab kahwin, tapi tetap akan bertudung lepas bercerai kerana Allah