Bilangan individu amat kaya (UHNWI) Malaysia meningkat sebanyak tiga peratus atau 30 orang pada 2016 berbanding penurunan 15 peratus pada 2015, demikian menurut Laporan Kekayaan Knight Frank 2017 yang diumumkan hari ini.
Malaysia mempunyai seramai 1,020 UHNWI pada tahun lepas berbanding 990 orang pada 2015.
Firma perunding hartanah global itu merujuk UHNWI sebagai individu yang memiliki kekayaan atau aset bersih sekurang-kurangnya US$30 juta (US$1 = RM4.41) atau lebih.
Mengulas lanjut, Ketua Penyelidikan Knight Frank bagi Asia Pasifik, Nicolas Holt, berkata antara faktor pertambahan golongan itu adalah pengukuhan pasaran saham selepas kemenangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump serta pemulihan pasaran komoditi.
“Di peringkat global pula, kelompok UHNWI ini bertambah sebanyak 6,340 orang yang menjadikan jumlah keseluruhannya 193,490 orang dan majoritinya dari Amerika Utara dan Eropah,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan hasil Laporan Kekayaan 2017 itu di sini.
Bagaimanapun, kata Holt, rantau Asia berkemungkinan mencabar kedudukan teratas senarai UHNWI berkenaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Ini berikutan ia cuma kekurangan 27,020 orang UHNWI berbanding Amerika Utara dan perbezaan itu dijangka mengecil kepada 7,680 individu menjelang 2026.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Capital Markets, James Buckley berkata kalangan UHNWI Malaysia memperuntukkan kira-kira 23 peratus daripada portfolio mereka kepada sektor hartanah dan ini tidak termasuk kediaman utama dan rumah kedua.
“Memandangkan aspek mengekalkan kekayaan itu menjadi keutamaan, kalangan UHNWI Malaysia berkemungkinan besar melabur dalam pasaran Asia kerana memudahkan mereka menyambung pelajaran dan tidak ketinggalan dari segi perubahan peraturan atau aliran ekonomi,” katanya.
Buckley berkata UHNWI Malaysia juga lebih berminat untuk melabur dalam hartanah di United Kingdom atau Australia dengan seramai 72 responden menyifatkan pendidikan adalah antara alasan utama yang mempengaruhi keputusan mereka.
Pada masa ini, Kuala Lumpur disenaraikan di tempat ke-31 daripada 40 negara di seluruh dunia dalam Indeks Kekayaan Bandar Knight Frank 2017 dengan London dan New York masing-masing di tangga pertama dan kedua. ― Bernama
Sumber: Malay Mail
Sumber Miliki lebih RM132 juta, bilangan individu amat kaya Malaysia meningkat kepada 30 orang pada 2016