Video: Awas! Jangan sembarangan guna penyikat rambut

Seringkali kita lihat di pasaraya mahupun kedai-kedai barangan kecantikan menjual pelbagai jenis sikat rambut. Kekadang kita mungkin tertanya, mengapakah terlalu banyak model, bentuk dan material sikat yang dipasarkan?

Video: Awas! Jangan sembarangan guna penyikat rambut

Video: Awas! Jangan sembarangan guna penyikat rambut

Adakah setiap satu jenis sikat yang dijual mempunyai fungsinya sendiri? Atau ianya sekadar untuk perhiasan dan menarik minat pelanggan semata-mata?

Sebenarnya, bentuk, kelebaran gigi sikat dan juga material yang digunakan untuk membuat sikat rambut mempunyai fungsi dan kepentingan masing-masing.

Ramai mungkin mengambil tidak endah sahaja akan setiap fungsi ini atau tidak tahu, namun, penggunaan sikat yang salah mampu membawa kepada kerosakan rambut seperti rambut lebih cepat gugur, kasar dan bercabang.

Pakar dan pengajar dandanan rambut di Institut Pakar Kosmetologi Malaysia, Karen Mak berkata, setiap bentuk dan jenis berus sisir rambut mempunyai fungsi yang penting yang menyumbang kepada kesihatan rambut.

Katanya, terdapat tiga jenis sikat rambut yang utama iaitu sikat rambut yang berbentuk pusingan (round brush), sikat rambut rat-tail (rat-tail brush) dan sikat rambut bergigi lebar (wide tooth comb).

Bagi sikat rambut yang berbentuk pusingan atau round brush, sikat ini adalah sesuai digunakan untuk mereka yang berambut kerinting dan ikal.

Jelas Karen, gigi-gigi sikat ini ada yang rapat dan juga jarang yang sesuai untuk pelbagai kegunaan.

Bagi gigi sikat round brush yang jarang ia lebih sesuai digunakan bagi mereka yang berambut kerinting atau ikal mayang. Ini kerana, rambut yang kerinting dan ikal bersifat tebal dan kusut.

Oleh itu, gigi sikat yang jarang memudahkan rambut yang kerinting dan ikal disikat. Selain itu, sikat ini juga mengelakkan rambut menjadi kembang dan lebih mudah untuk diurus.

Di samping itu, bagi gigi sikat round brush yang rapat pula, ia lebih sesuai digunakan untuk mengkerintingkan rambut dan membuat bahagian hujung rambut kelihatan ikal.

Kebanyakan sisir begini mempunyai berus yang rapat dan pendek dan di selang-seli dengan gigi sisir yang panjang dan berjarak.

Selain itu, Karen berkata, pemegang sikat jenis round ini juga mempunyai saiz yang berlainan. Saiz ini juga mempunyai fungsi yang penting.

“Kalau mahu kerinting pada rambut lebih tahan lama, biasanya kita perlu menggunakan sikat round yang mempunyai pemegang paling kecil. Tapi, kalau mahu membuat hujung rambut kelihatan ikal, saiz pemegang yang lebih besar adalah sesuai digunakan,” ujar Karen.

Di samping itu, jenis sikat rambut rat-tail pula bersesuaian untuk mereka yang mempunyai rambut lurus dan lembut. Karen berkata, sikat ini berbentuk leper dan mempunyai tirus yang panjang di hujung pemegangnya.

“Sikat ini sesuai digunakan oleh mereka yang mempunyai rambut lurus dan lembut. Contohnya, mereka yang membuat teknik meluruskan rambut boleh menggunakan sikat ini untuk menyisir rambut,” kata Karen.

Selain itu, beliau berkata, jenis sikat ini tidak sesuai digunakan untuk menyisir rambut yang kusut, basah dan kerinting.

“Bagi mereka yang berambut kerinting dan ikal, tidak digalakkan untuk menggunakan jenis sikat ini kerana ia boleh membuat rambut kasar dan gugur,” jelas Karen.

Namun, fungsinya juga adalah khusus untuk membuat teknik ‘back-combing’ yang menghasilkan gaya rambut sanggul (bun) dan tocang (braid) kerana sikat ini memudahkan untuk kembangkan rambut dalam penggayaan sanggul.

Tambahnya lagi, muncung tirus di hujung pemegangnya pula bukan sekadar untuk perhiasan, namun ia digunakan untuk membuat belahan rambut supaya belahan itu lebih lurus dan kemas untuk membuat gaya rambut tocang dan sanggul.

Sementara itu, sikat rambut bergigi lebar atau wide tooth comb pula sesuai digunakan untuk semua jenis rambut.

Sikat ini sering digunakan oleh setiap orang di mana saiz gigi sikat adalah lebar dan jarak antara giginya lebih besar berbanding sikat rambut rat-tail.

Oleh kerana jarak giginya yang lebar, sikat ini mengelakkan rambut daripada putus atau gugur ketika disikat.

“Kalau kita lihat sikat ini, giginya lebar dan berjarak. Jadi kalau untuk longgarkan kekusutan rambut, sikat jenis ini lebih sesuai digunakan,” katanya.

Dalam pada itu,Presiden Persatuan Pengamal Kosmetologi Malaysia, Lim Wee Nee berkata, kerosakan rambut dan keradangan kulit kepala bukan sahaja berpunca daripada penyalahgunaan jenis sikat, Namun, material gigi sikat juga memainkan peranan yang penting.

“Kebanyakan sikat yang dijual adalah diperbuat daripada plastik sintetik dan hanya sedikit yang diperbuat daripada kayu.

“Sikat yang diperbuat daripada plastik sintetik mampu memberi kesan negatif kepada rambut dan kulit kepala seperti rambut mudah gugur dan kulit kepala berkelemumur,” ujar Wee Nee.

Jelasnya lagi, sikat yang diperbuat daripada plastik ini lebih laris dan sering digunakan di salun-salun kecantikan kerana harganya yang lebih murah berbanding sikat yang diperbuat daripada kayu.

Sikat yang diperbuat daripada kayu pula mampu memberi kesan yang baik kepada kulit kepala dan rambut kerana kayu merupakan bahan semula jadi dan tidak mempunyai campuran bahan kimia.

Bukan itu sahaja, hujung gigi sikat yang diperbuat daripada kayu adalah lebih tumpul dan tidak menyakitkan.

Sementara itu, Wee Nee berkata, sikat yang digunakan juga perlu ditukar selalu dan dibasuh sekali seminggu. Debu dan rambut gugur yang melekat di gigi sikat boleh menyebabkan kulit kepala berkelemumur dan berminyak serta berjerawat.

Jadi, penggunaan jenis sikat rambut yang betul, material gigi sikat dan kebersihan sikat perlu dititikberatkan supaya rambut kekal sihat dan cantik.

Sumber: UTUSAN ONLINE



Sumber Video: Awas! Jangan sembarangan guna penyikat rambut

Post a Comment

Previous Post Next Post