Pemandu teksi jujur pulangkan dompet pelanggan, Naza beri 2 anaknya RM500 sebulan selama 3 tahun

Kejujuran pemandu teksi, Zamrod Adam yang memulangkan dompet kepunyaan seorang penumpang wanita mendapat penghargaan apabila dua anaknya akan menerima bantuan pendidikan daripada Kumpulan Naza.

Naza

Dua daripada empat anaknya, Athirah, 21, pelajar Universiti Teknologi Mara(UiTM) dan Muhammad Zaim, 17, akan menerima RM500 setiap bulan untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Kegembiraan Zamrod, 58, jelas terpancar ketika bercakap kepada pemberita selepas menerima cek daripada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin dalam majlis ‘Heroes Among Us Reunion’ di sini hari ini.

“Ia adalah tanggungjawap semua orang untuk memulangkan hak orang lain. Ini harus menjadi prinsip utama moral,” katanya.

Berita kejujuran Zamrod menjadi viral selepas beliau memulangkan sendiri dompet kepunyaan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang, Ong Bee Leng yang tertinggal dalam teksinya.

Bee Leng meluahkan penghargaannya kepada Zamrod menerusi akaun Facebook miliknya yang kemudian menjadi viral.

Menceritakan insiden pada Februari lalu, Bee Leng berkata, kejujuran Zamrod membuatkannya percaya masih ada orang yang baik.

“Ketika itu saya berada di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang untuk menaiki pesawat ke Pulau Pinang apabila menyedari dompet saya tidak ada,” katanya.

Bee Leng berkata, beliau kemudian ke kaunter penerangan lapangan terbang itu untuk meminta bantuan apabila menerima panggilan daripada Zamrod yang memaklumkan dompetnya ada bersamanya sebelum datang menyerahkannya.

Majlis hari ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawap sosial korporat Kumpulan Naza untuk menghargai kejayaaan individu yang memberi inspirasi kepada orang lain. – Bernama

 

Sumber: Sinar Harian



Sumber Pemandu teksi jujur pulangkan dompet pelanggan, Naza beri 2 anaknya RM500 sebulan selama 3 tahun

Post a Comment

Previous Post Next Post