<Update 16.1.2010 Pengajaran yg boleh diambil> SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam memerintahkan seorang pensyarah universiti yang berkelulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dan suaminya memberi nafkah kepada ibu bapanya sepanjang hayat. Hakim Mohd Nadzri Abdul Rahman Ibrahim, juga memerintahkan Raja Suzana Kassim, 39, dan suaminya, Zulazli Hashim, 43, memenuhi lima tuntutan lain yang difailkan Kassim Othman, 74, dan isterinya, Fatimah Salleh, 66, iaitu membenarkan mereka sepanjang hayat tinggal di sebuah rumah di Kampung Jiboi Baru, Ampangan.
Mahkamah turut memerintahkan pasangan warga emas itu diberi kebebasan bergerak dan melakukan aktiviti dalam rumah itu serta kawasan persekitaran; diberi kebebasan dilawati anak lain pada bila-bila masa sepanjang hayat; menghormati dan menjaga kebajikan mereka serta membiayai mereka mengerjakan haji. “Saya juga memerintahkan defendan pertama membayar nafkah RM500 sebulan, iaitu RM250 kepada plaintif pertama (Kassim) untuk membayar bil utiliti dan kos penyelenggaraan kawasan rumah serta RM250 kepada plaintif kedua (Fatimah) untuk kos perbelanjaan harian pada setiap akhir bulan sepanjang hayat mereka.
“Saya fikir bayaran nafkah itu mencukupi untuk pasangan warga emas seperti mereka kerana anak lain juga perlu bertanggungjawab menanggung mereka.
Perintah ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam penghakiman ringkas kes itu.
Bagaimanapun, hanya Zulazli hadir ketika hakim membacakan keputusan itu. Raja Suzana, anak kelima daripada lapan beradik tidak hadir kerana mahkamah diberitahu peguamnya,
Norzaini Nordin , bahawa anak guamnya terpaksa mengendalikan peperiksaan akhir semester penuntutnya.
Pada April 2007, Kassim dan Fatimah yang diwakili Haniff Hassan , memfailkan enam tuntutan termasuk nafkah sepanjang hayat daripada anak perempuan dan menantunya kerana didakwa memungkiri janji dan mengusir mereka dari rumah yang dipindah milik kepada anak dan menantunya itu.
Pada 1993, Raja Suzana serta Zulazli mendirikan rumah tangga dan pada 2002, Kassim memindah pemilikan tanah kepada defendan selepas mereka berjanji, antara lain menanggung nafkah plaintif selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-dua plaintif tinggal di rumah itu.
Pengajaran-pengajaran yang boleh diambil dari peristiwa ini ialah :
- Pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak dengan Islam sehingga lahir kasih sayang kerana Allah dan perasaan tanggungjawab diantara mereka.
- Penting ibu bapa memadankan anak-anak mereka dengan pasangan-pasangan yang beragama yang turut menghormati mertua disamping menghormati ibu bapa mereka sendiri.
- Setiap dosa di dalam Islam boleh dianggap jenayah oleh Mahkamah Syariah. Ini termasuk menghalau ibu bapa keluar dari tempat kediaman mereka tanpa pembelaan.
- Dokumen dan penama pemilikan rumah, tanah atau apa sahaja hartanah adalah suatu yang penting disimpan. Jangan mudah menukar nama pemilikan tanpa sebarang jaminan ketaqwaan dan hitam putih.
- Sebarang permasalahan keluarga yang tidak boleh diselesaikan sesama sendiri boleh dirujuk ke Mahkamah Syariah.
- Penting seseorang mengatur kehidupan mereka termasuk mengatur budget perbelanjaan bulanan. Jika gagal mengaturnya dengan baik, gaji ribuan ringgit sebulan pun tidak akan mencukupi bukan sahaja untuk memberi sumbangan kepada ibu bapa yang telah tua, tetapi juga untuk diri dan keluarga sendiri.
- Kejayaan dalam pelajaran adalah satu perkara. Namun kejayaan dalam berbakti kepada ibu bapa dan masyarakat adalah suatu perkara yang lain pula.
- Mendapat gaji adalah suatu perkara. Namun mendapat wang yang berkat adalah suatu perkara yang lain. Rezeki yang diberkati Allah melahirkan taqwa kepada insan, puas (qanaah) dengan apa yang ada disamping memberi dorongan kepada seseorang untuk terus menambah usaha demi berbakti kepada umat dan Agama.
- Pasangan yang baik di dalam perkahwinan ialah pasangan yang sering mengingatkan kita akan tanggungjawab kita terhadap keluarga dan sanak saudara.
- Sebaik-baik perhiasan di dunia ialah Isteri yang Solehah. Sebaik-baik peninggalan di dunia ialah Anak Yang Soleh. Lihatlah, kesemuanya ialah harta insan atau manusia, bukan banglo yang tersergam, kereta mewah yang meluncur dan wang ringgit yang melimpah ruah.
- Allah swt Maha Penerima Taubah (At-Tawwab). Setiap anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yanag bertaubat, tidak kembali kepada perbuatan salahnya, membaiki dan mempertingkatkan dirinya menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa.
** Cuba bandingkan dengan posting Cerpen Islam … Intan **
Ustaz Halim
‘Gaji saya tidak cukup’
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my
SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Syariah , di sini, semalam diberitahu seorang pensyarah sebuah universiti dan suaminya yang sebelum ini bersetuju memenuhi beberapa tuntutan termasuk menyara nafkah sepanjang hayat ibu bapanya, pendapatannya tidak mampu menampung perbelanjaan bulanan mereka. Raja Suzana Kassim, 39, berkata pendapatan bulanannya berjumlah RM4,400 tidak mencukupi untuk menampung semua perbelanjaan menyebabkan kekurangan itu terpaksa ditampung pendapatan suaminya, Zulazli Hashim, 43.
Selain itu, dia turut memaklumkan mahkamah mengenai beberapa pinjaman bank termasuk pinjaman peribadi dan peruntukan gaji yang dibelanjakan untuk makanan, pakaian dan keperluan lain serta membayar insurans pendidikan anak-anaknya.
Menurutnya, dia memiliki tiga kereta, namun hanya sebuah masih belum selesai bayaran ansuran dengan bank.
Raja Suzana dan Zulazli sebagai defendan pertama dan kedua menghadapi tuntutan daripada pesara, Kassim Othman, 72, dan isteri, Fatimah Salleh, 64,
di mahkamah berkenaan pada April 2007 kerana didakwa memungkiri janji dan mengusir mereka dari rumah yang dipindah milik kepada anak dan menantunya itu.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Kassim yang juga plaintif pertama dianugerahkan sebidang tanah oleh kerajaan negeri di Kampung Jiboi Baru , Ampangan, di sini, sekitar Ogos 1971.
Plaintif pertama dan kedua ( Fatimah ) mendakwa mereka mendirikan sebuah rumah di atas tanah itu dan membesarkan lapan anak termasuk defendan pertama.
Mereka turut memaklumkan defendan pertama dan kedua mendirikan rumah tangga pada 1993.
Pada 2002, plaintif pertama bersetuju untuk memindah pemilikan tanah kepada defendan selepas mereka berjanji,
antara lain menanggung nafkah plaintif selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-dua plaintif tinggal di rumah itu.
Bagaimanapun, defendan memungkiri janji dan mengabaikan kebajikan plaintif.
Pada mulanya, plaintif dibenarkan tinggal di rumah itu tetapi layanan defendan begitu mengecewakan sebelum mereka diusir keluar oleh defendan pada akhir Ramadan 1425 Hijrah.
Pernyataan tuntutan itu turut menyatakan berlaku kejadian defendan pertama melakukan kekasaran terhadap plaintif kedua menyebabkan dia cedera. Satu laporan polis dibuat berikutan kejadian itu.
Dalam pernyataan itu turut menyebut keadaan itu menunjukkan defendan gagal, abai atau cuai untuk memenuhi janji selepas tanah itu dipindah milik dan gagal,
abai atau cuai untuk melaksanakan tanggungjawab member nafkah kepada plaintif iaitu nafkah furu’.
Plaintif menuntut defendan memberi nafkah sepanjang hayat dan dibenarkan tinggal di rumah di Kampung Jiboi Baru seumur hidup selain diberi kebebasan bergerak
secara munasabah serta melakukan aktiviti masing-masing dalam rumah itu serta persekitaran.
Malah, plaintif turut menuntut diberi kebebasan untuk dilawati anak lain dan bersama dengan anak lain di rumah itu pada bila-bila masa yang munasabah selama hayat mereka,
defendan menghormati dan menjaga kebajikan mereka serta relif yang difikir sesuai oleh mahkamah.
Bagaimanapun, Raja Suzana dan suami bersetuju memenuhi tuntutan ibu bapanya pada tahun lalu terutama berkaitan nafkah sepanjang hayat dan membenarkan mereka
mendiami rumah berkenaan yang sudah dijual kepada orang lain tetapi disewa semula Raja Suzana.
Hakim Syarie Mohd Nadzri Abg Rahman menetapkan 24 Februari ini untuk membuat taksiran sama terhadap suami defendan.
Firman Allah yang maksudnya: –
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya
dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya)
dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah
kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah),
kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
Sumber: Ini Jalanku
Sumber Recap: Pensyarah usir ibu bapa lepas rumah dipindah milik dengan alasan gaji tak cukup, diarahkan mahkamah supaya sara ibu bapanya sepanjang hayat