Video penumpang diseret, dipaksa turun dari pesawat dan dikasari hingga mulut berdarah oleh polis cetus kemarahan netizen sedunia

Orang ramai dan pihak yang berkaitan, termasuk Jabatan Penerbangan Chicago menganggap kejadian seorang penumpang dikasari hingga mulutnya berdarah ketika dipaksa meninggalkan pesawat kelmarin, tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku.

 

 

 

Jabatan Penerbangan Chicago menyatakan ia tidak bersetuju dengan tindakan polis lapangan terbang yang dirakam menarik seorang penumpang dalam pesawat United Airlines dengan kasar menyebabkan mukanya cedera akibat terhantuk pada lengan kerusi sebelum mengheretnya keluar dari pesawat.

Menurut AP, rakaman video kejadian yang berlaku semalam yang dimuat naik penumpang lain ke media sosial mencetuskan kemarahan orang ramai. Ia menunjukkan seorang penumpang lelaki , dipercayai doktor berusia 69 tahun, dipaksa keluar dari pesawat bagi memberi tempat kepada empat kakitangan syarikat penerbangan itu yang perlu ke Louisville, Kentucky, dengan segera.

CEO syarikat penerbangan itu, Oscar Munoz, memohon maaf dengan kejadian berkenaan manakala seorang daripada tiga polis lapangan terbang yang menarik penumpang itu diarah bercuti.

Dalam kenyataan kepada akhbar Sun-Times, Jabatan Penerbangan Chicago berkata: “ Kejadian di atas pesawat United penerbangan 3411 tidak selari dengan prosedur operasi kami dan tindakan anggota keselamatan terbabit tidak mencerminkan imej jabatan ini.

“Pegawai terbabit diarah bercuti sehingga siasatan selesai.”

Dalam rakaman ketika pesawat hendak berlepas di Lapangan Terbang OHare di sini, lelaki berketurunan Cina berkenaan dilihat seperti tidak sedarkan diri ketika diheret keluar dari pesawat.

Dalam rakaman itu penumpang lain kedengaran berkata, “Oh Tuhan, apa yang kamu buat?” “Cara ini salah,” “Tengok, apa yang kamu dah buat kepadanya” dan “Kamu pecahkan bibirnya”.

Polis lapangan terbang adalah anggota Jabatan Polis Chicago namun mereka ditadbir oleh Jabatan Penerbangan Chicago.

Menurut Daily Mail, Jabatan Polis Chicago sebelum itu membuat kenyataan kononnya lelaki berkenaan terjatuh dan mukanya mengenai lengan kerusi.

“Pegawai Penerbangan datang untuk membawa keluar individu itu dari pesawat apabila dia terjatuh. Kepalanya mengenai lengan kerusi menyebabkan kecederaan pada muka,” kata kenyataan itu.

Jabatan itu mendakwa lelaki berkenaan berkeras enggan meninggalkan kerusinya dan dia selepas itu dihantar ke hospital untuk rawatan.

Namun, semalam, selepas rakaman video itu tersebar luas, jabatan itu menyatakan semua pertanyaan perlu dirujuk kepada Jabatan Penerbangan Chicago.

Kejadian itu berlaku selepas United Airlines meminta empat penumpang secara sukarela memberikan tempat duduk mereka kepada kakitangan penerbangan itu namun tiada siapa mahu walaupun ditawarkan ganti rugi AS$400 sebelum dinaikkan kepada AS$800 dan penginapan menunggu penerbangan keesokannya.

Krew membuat pengumuman pesawat berkenaan tidak akan berlepas selagi empat penumpang tidak menyerahkan tempat duduk mereka.

Berikutan itu, syarikat itu mendakwa ia menggunakan sistem komputer untuk memilih secara rawak empat penumpang yang perlu turun.

AP melaporkan, jurucakap United Airlines, Charlie Hobart, berkata empat kakitangan itu pekerja Republic Airline yang disewa United untuk mengendalikan penerbangan United Express dan perlu ke Kentucky kerana jika tidak, penerbangan United Express di sana terpaksa dibatalkan kerana kekurangan krew.

Menurutnya, apabila empat nama itu diumumkan, tiga penumpang turun namun penumpang keempat enggan dan polis lapangan terbang dipanggil

“Kami mematuhi prosedur. Pesawat itu perlu berlepas,” katanya.

Selepas tiga jam tertunda, pesawat berkenaan berlepas tanpa empat penumpang itu yang diganti dengan kakitangan Unidted Airlines.

Syarikat penerbangan dibenar menjual tiket melebihi jumlah tempat duduk kerana ada penumpang yang tidak datang namun ia juga menyebabkan ada penerbangan terlebih penumpang.

Bukan perkara luar biasa berlaku kejadian penumpang diarah memberi tempat duduk atau yang tiada tempat duduk, biasanya sama ada penumpang yang tambangnya paling murah atau paling lewat mendaftar masuk.

Namun syarikat penerbangan perlu membayar ganti rugi dengan sekali ganda harga tiket (di Amerika) atau sehingga AS$675 jika penumpang itu boleh menaiki pesawat yang satu, dua jam lewat; empat kali ganda harga tiket atau sehingga AS$1,350 untuk tempoh lebih laman.

Penumpang, D Bridges menyiarkan video itu di Facebook. Suaminya, Tyler Bridges, berkata United tidak sepatutnya membenarkan penumpang menaiki pesawat kerana terlebih penumpang, sebaliknya boleh menahan empat penumpang daripada menaiki pesawat.

“Cara mereka (terutama polis) mengendalikan situasi ini salah. Kini imej polis kelhatan buruk. Banyak cara lain boleh dilakukan United, bukannya cara yang tidak elok seperti ini,” katanya.

 

Video penumpang diseret, dipaksa turun dari pesawat dan dikasari hingga mulut berdarah oleh polis cetus kemarahan netizen sedunia

Video penumpang diseret, dipaksa turun dari pesawat dan dikasari hingga mulut berdarah oleh polis cetus kemarahan netizen sedunia

 

 

Sumber: Metro



Sumber Video penumpang diseret, dipaksa turun dari pesawat dan dikasari hingga mulut berdarah oleh polis cetus kemarahan netizen sedunia

Post a Comment

Previous Post Next Post