SHAH ALAM – Seorang lelaki warga Indonesia merayu rakyat Malaysia membantu mencari isterinya yang didakwa hilang sejak datang ke Malaysia untuk bekerja sejak enam bulan lalu.

 

Kadim Mulyono berkata, isterinya, Ida Arijanti, 43, tidak pernah menghubungi ahli keluarganya sejak datang ke sini pada pertengahan Oktober lalu.

“Dia sudah hilang selama enam bulan lebih dan tidak pernah hubungi keluarganya dan anak-anaknya sudah merindui ibu mereka.

“Pihak ejen Indonesia pun tidak tahu di mana dia, malah kami sendiri sudah bosan ingin bangkitkan persoalan ini kepada ejen,” tulisnya menerusi Facebook Messanger Sinar Harian.

Katanya lagi, Ida yang berasal dari Jawa Timur, Kota Surabaya dikatakan hilang sejak datang bekerja di Malaysia pada 17 Oktober lalu.

“Melalui media Sinar Harian kami mengetuk hati insani Malaysia sudi kiranya menyampaikan berita ini kepada yang bersangkutan,” rayunya lagi.

Sementara itu, Kadim menambah, ada berita sedih yang ingin dikhabarkan kepada isterinya itu.

“Sebulan setelah pemergiannya ke Malaysia untuk bekerja, ibundanya telah meninggal dunia, dia pun tidak tahu mengenai perkhabaran ini.

“Justeru, melalui Sinar Harian,saya mengharapkan rakyat Malaysia sudi menolong saya mencari isteri saya atau menyampaikan perkhabaran ini kepada dirinya,” katanya lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Ida boleh menghubungi Kadim melalui aplikasi WhatsApp bernombor +6285230069997.