Pemandu kereta nombor pendaftaran BMS 7 yang video pergaduhannya viral di media sosial Khamis lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan melanggar kereta seorang seorang lelaki, lapor Harian Metro.
S. Simran Singh, 27, pelajar jurusan undang-undang, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.
Baca artikel sebelum: “Kereta saya dilanggar dari belakang, saya bukan road bully” – Pemandu BMS 7
Mengikut pertuduhan, Simran didakwa telah melakukan khianat dengan mengundurkan kereta dan melanggar bahagian bumper hadapan kereta yang dipandu oleh Mohd Kamil Mokhtar, 49.
Simran didakwa melakukan perbuatan itu di tepi Jalan Pahang menghala ke Jalan Genting Klang pada jam 12.45 tengah hari, 13 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 9 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Dalam video pergaduhan yang viral di media sosial pada 16 Julai lalu, Simran dilihat bergaduh dengan seorang lelaki sejurus kemalangan itu berlaku. Simran mendakwa lelaki itu telah melanggar belakang keretanya.
Menurut Simran, dia mengambil keputusan untuk beredar selepas orang ramai mula campur tangan dan bimbang dengan keselamatan dirinya, sebelum membuat laporan polis pada hari kejadian.
Sumber: The Reporter
Sumber Pemandu BMS 7 mengaku tak bersalah dituduh lakukan khianat
Tags:
tbKOR