KOTA TINGGI: Seorang mangsa culik bertindak berani melarikan diri dengan membuka pintu kereta suspek yang masih belum dikunci sebelum melompat keluar dari kenderaan berkenaan dalam kejadian di Bukit Samsu, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, akibat tindakan itu mangsa yang berusia 15 tahun mengalami kecederaan pada tangan, kaki dan badan akibat jatuh di atas jalan.
Katanya, suspek terus melarikan diri sebelum terbabas di tepi jalan dan merempuh pokok.
“Orang awam yang menyedari kejadian itu terus menangkap suspek dan menyerahkan pada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, suspek yang menaiki Perodua Myvi dikatakan cuba melarikan remaja perempuan berkenaan di hadapan sebuah kedai runcit di kawasan berkenaan.
Ahsmon berkata, mangsa bersama rakannya berada di hadapan kedai itu sebelum didatangi suspek seorang diri yang terus bertindak menarik mangsa dan memecut kenderaannya untuk melarikan diri.
Kejadian itu turut menjadi viral dalam laman Facebook yang dimuat naik beberapa individu dan laman media sosial berkenaan sejak malam tadi.
Ashmon berkata, siasatan awal mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.
“Motif kejadian masih dalam siasatan termasuk mendapatkan pengesahan pakar sama ada wujud pengaruh dadah berdasarkan rekod lampau pada suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan,” katanya.
Sumber: Bharian
Sumber Remaja perempuan 15 tahun mangsa culik lompat keluar dari kereta, suspek berjaya ditahan orang ramai