JOHOR BAHRU, 14 Ogos – Beberapa jalan sekitar bandar raya ini akan ditutup bermula 6 petang ini sempena majlis persandingan Diraja Johor Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim di Istana Besar.
Antara berkenaan ialah Jalan Ayer Molek, Jalan Yahya Awal dan Jalan Dato Onn, kata Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dalam satu kenyataan.
Beliau berkata jalan itu akan ditutup sehingga majlis selesai secara berperingkat.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor telah mengerahkan 318 anggota dalam penugasan pengiring, kawalan keselamatan dan lalu lintas sepanjang majlis berlangsung.
Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan menggunakan jalan alternatif bagi mengelak kesesakan lalu lintas,” kata Wan Ahmad Najmuddin.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan yang diberikan oleh anggota polis daripada semasa ke semasa supaya keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Wan Ahmad Najmuddin berkata polis Johor tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap sebarang perlakuan dan perbuatan yang tidak mematuhi undang-undang. — Bernama
Sumber Jalan ditutup sempena persandingan Tunku Tun Aminah