Nur Dhabitah pitam semasa latihan, berjaya raih perak

 “Tiba-tiba semasa latihan pemanas badan, ketika nak buat somersault, saya pitam dan saya jatuh terlentang… mendatar,” kata penerjun negara Nur Dhabitah Sabri menceritakan kisah “perit” dilaluinya sebelum final acara 3m papan anjal wanita hari ini.

 

Nur Dhabitah pitam semasa latihan, berjaya raih perak

Nur Dhabitah pitam semasa latihan, berjaya raih perak

 

Sebab itu katanya, dalam pertandingan hari ini, apa yang ada dalam fikiran adalah untuk segera menghabiskan lima terjunan berikutan keadaan badan yang tidak selesa dan sakit.

“Saya punya belakang leher sampai bawah tidak boleh gerak dan keras… tidak rasa. Mereka (jurulatih dan pegawai) minta saya buat pemeriksaan, tapi saya mahu teruskan aksi dan kemudian baru buat pemeriksaan (doktor),” katanya.

Keadaan itu telah menjejaskan aksi penerjun berumur 18 tahun itu sekaligus terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara 3m papan anjal wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil.

Nur Dhabitah bakal beraksi dalam dua lagi acara iaitu 1m papan anjal esok, dan bergandingan dengan Wendy Ng Yan Yee dalam acara 3m papan anjal seirama pada Selasa.

“Saya harap badan saya akan lebih baik supaya saya dapat beraksi dengan lebih selesa nanti. Untuk hari ini, jurulatih saya berpuas hati sebab walaupun dalam keadaan sakit, saya masih boleh membuat terjunan yang baik,” katanya.

Pingat emas dimenangi Wendy Ng selepas mengumpul 342.95 mata manakala pingat gangsa dimenangi Ashlee Tan Yi Xuan daripada Singapura yang mengumpul 233.60 mata.

Sementara itu, dalam acara 3m papan anjal lelaki pula, Ooi Tze Liang mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam edisi 2015, di Singapura.

Tze Liang ternyata tidak tercabar apabila mengumpul 458.00 mata selepas menamatkan enam terjunan, manakala pingat perak dimenangi rakan senegara Ahmad Amsyar Azman yang mengumpul 432.25 mata.

Penerjun Singapura, Timothy Lee Han Kuan pula meraih gangsa selepas mengumpul 366.35 mata.

“Saya gembira dapat mempertahankan emas saya walaupun persembahan saya sebenarnya tidak sehebat di Singapura. Saya letak diri sendiri sebagai pencabar utama dan sentiasa perbaiki kelemahan dalam terjunan. Pada saya ia bukan kemenangan mudah, sebab Amsyar dan Timothy juga beri saingan sengit,” kata Tze Liang.

Dalam satu lagi acara, pasangan senior dan muka baharu negara Pandelela Riong-Gabriel Gilbert Daim meraih pingat emas dalam acara berpasukan yang diperkenalkan pada temasya Sukan SEA ke-29 kali ini.

Pandelela-Gabriel yang ketinggalan di tempat ketiga pada pusingan pertama, berjaya bangkit kembali pada pusingan kedua dan terakhir untuk pastikan emas ketiga acara terjun yang membuka tirai hari ini.

Gandingan negara itu mengutip 345.40 mata, diikuti gandingan Singapura Freida Lim Shen-Yan dan Jonatahn Chan Fan Keng meraih perak selepas mengumpul 335.55 mata.

Gandingan penerjun Thailand Surincha Booranapol-Theerapat Siriboon pula menang gangsa dengan 243.90 mata.

Dalam acara berpasukan, dua penerjun terdiri daripada seorang penerjun lelaki dan wanita, akan membuat mana-mana daripada dua terjunan iaitu 10m platform dan 3m papan anjal dalam tiga terjunan.

Markah yang diperolehi akan dikumpulkan bagi menentukan pemenang. ― Bernama

Sumber: Malay Mail



Sumber Nur Dhabitah pitam semasa latihan, berjaya raih perak

Post a Comment

Previous Post Next Post