Mahkamah Rayuan mengarahkan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menjalani hukuman penjara sebulan, selepas dia membuat keputusan mengejut dengan menarik balik rayuan terhadap sabitan melanggar arahan polis untuk meninggalkan Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada 2012.
Panel 3 hakim yang dipengerusikan Datuk Mohtarudin Baki memerintahkan naib presiden PKR terbabit memulakan hukuman penjaranya di Penjara Kajang, hari ini.
Tian Chua disabitkan bersalah di bawah Akta Kawasan dan Tempat Larangan 1959 kerana menolak arahan meninggalkan Kompleks Pulapol di Jalan Semarak pada 29 April 2012, sehari selepas dia ditahan dalam perhimpunan Bersih 3 di Kuala Lumpur.
Terdahulu, Tian Chua melucutkan peguamnya, N Surendran dan menyuarakan kesediaannya untuk dipenjarakan.
Ketika berada dalam kandang tertuduh, Tian Chua berkata, dia ditahan bersama 500 peserta Bersih 3 pada 28 April 2012 dan dihantar ke Pulapol.
“Saya tidak didakwa kerana mengambil bahagian di dalam satu perhimpunan haram. Dakwaan terhadap saya adalah berkaitan kehadiran saya di Pulapol, di mana saya ditahan pada hari tersebut.
“Saya didakwa melakukan kesalahan menceroboh ‘kawasan larangan’, iaitu Pulapol. Dengan penuh hormat, saya ingin memaklumkan mahkamah ini saya menarik balik rayuan saya.”
Beliau menyifatkan amat tidak munasabah menghukumnya kerana dia berada di Pulapol secara paksaan dan tanpa persetujuannya.
“Akibat daripada itu, saya didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 24 Januari 2014 dan dijatuhkan hukuman penjara 1 bulan dan denda RM1,000.”
Katanya, dia menyertai perhimpunan Bersih sebagai sebahagian perjuangan lama untuk membentuk Malaysia yang lebih adil dan baik.
Tian Chua berkata, seperti jutaan rakyat Malaysia lain, dia mendambakan perubahan demi menegakkan keadilan dan kebebasan di negara ini.
“Sekiranya harga mengubah sistem yang zalim dan korup ini bermakna saya perlu ke penjara, maka saya amat bersedia membayarnya.
“Pada masa sama, saya ingin tekankan saya ke penjara tidak bermakna saya mengaku bersalah. Sebenarnya, saya mahu mengetengahkan kesalahan kerajaan ini.”
Sebelum diiringi keluar dari mahkamah oleh polis, Tian Chua sempat bersalaman dengan pemimpin PKR lain dan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui terkejut dengan keputusan Tian Chua.
“Saya semalam sudah tanya apakah keputusan yang akan beliau buat hari ini, tetapi dia enggan beritahu,” katanya.
Sementara itu, Latheefa Koya yang juga salah seorang peguam Tian Chua ketika ditemui di luar mahkamah berkata, kedudukan Tian Chua sebagai ahli Parlimen tidak terjejas.
“Kami sudah menasihati Tian Chua kemungkinan dan akibat yang akan dia terima, tetapi dia menyatakan tidak takut dipenjarakan, dia tetap mahu menjalani hukumannya.”
Sumber: FMT
Sumber Dakwa berada di Pulapol secara paksaan, Tian Chua tarik balik rayuan dan rela dipenjara