Pengguna media sosial memberi reaksi berbeza terhadap arahan Sultan Johor kepada pemilik sebuah kedai dobi layan diri di Muar memohon maaf atau menamatkan perniagaannya.
Antara yang menyokong arahan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ialah Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menerusi Facebook miliknya berkata: “Kita perlu menjadi sederhana dan progresif.”
Asri sebelum ini mengkritik tindakan pemilik kedai dobi berkenaan yang disifatkannya pandangan sempit tiada kaitan dengan Islam.
Seorang lagi pengguna Facebook Yati Ah Pin menasihatkan orang ramai supaya menghormati titah Sultan Johor.
“Sudah-sudahlah tu…hormatilah titah sultan yang berjiwa rakyat ni…Kalau nak ikut hukum alam, masih banyak lagi isu yang tersembunyi, contohnya kalau kita tinggal di hotel pun mana ada bersih? Semua pun kongsi pakai dengan bermacam-macam manusia? Lu fikir sendirilah,” katanya.
Bagaimanapun, Rahim Razali berharap Sultan Johor akan turut mengambil tindakan terhadap syarikat yang mengambil pekerja daripada kaum tertentu sahaja.
“Harap-harap lepas ni, kalau ada syarikat yang hanya ambil kaumnya sahaja, tuanku tunjukkan kuasa tuanku untuk tutup syarikat tu tanpa tolak ansur.”
Selain Facebook, pengguna Twitter turut memuji tindakan Sultan Ibrahim.
“Sokong titah tuanku sultan dalam isu kedai dobi. Kita mahu Johor yang progresif & sederhana, bukan ekstremis,” tulis @my_anwarismail.
@ATMology pula menulis: “Alhamdulillah. Dengan campur tangan Sultan Johor, Pakcik Dobi akan membuka perniagaannya kepada bukan Muslim. Tambah pendapatan.”
Bagaimanapun, lain ceritanya dengan pengguna Facebook bernama Sally Mahdi yang mempertahankan tindakan pemilik kedai dobi itu.
“Baru buat dobi konsep Islamik dah kena kecam dan dituduh macam-macam. Asas agama dah diperlekehkan…kesucian Islam dah tak dibela dengan sewajarnya.
“Ini bukan rasis, ekstremis atau Taliban. Pemilik punyai konsep dia tersendiri biarlah. Rezeki Allah dah aturkan. Saya sokong konsep dia. Patutnya orang Islam yang tahu hukum feqah ni, tahu macam mana nak jaga kesucian. Bersih tak bermakna suci!”
Mohd Razi pula menasihatkan pemilik kedai dobi itu tabah menghadapi cabaran dalam menjalankan perniagaan.
“Banyakkan berdoa kepada Allah agar dipermudahkan segalanya. Doa saya semoga tuan beroleh ganjaran yang besar di sisi Allah,” tulisnya di Facebook.
Shaiful Aznizam pula berkata, pemilik kedai dobi itu mempunyai hak ke atas harta dicarinya.
“Dan Alhamdulillah dia menitikberatkan kebersihan dan kesucian dalam Islam. Tidak perlu meminta maaf kerana ini juga terjadi pada iklan-iklan atau jawatan-jawatan yg diiklankan seperti memilih pekerja yang boleh berbahasa Cina sahaja.
“Sedangkan pekerjaan itu dibuka kepada seluruh warganegara Malaysia dan bahasa kebangsaan kita adalah bahasa Malaysia. Kenapa ini tidak dipertikaikan,” soalnya di Facebook.
Sebelum ini, pemilik terbabit mempertahankan dirinya dengan berkata, beliau hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai umat Islam, bukannya bersikap perkauman.
Penasihat Majlis Agama Johor, Datuk Noh Gadot pula berkata, orang Islam dan bukan Islam perlu memastikan pakaian mereka tidak bercampur dengan “najis mughallazah” atau najis babi dan anjing.
Rabu lalu, Sultan Ibrahim dipetik The Star menyifatkan amalan itu karut, memalukan dan bersifat ekstremis kerana Johor ialah negeri progresif, moden dan sederhana, bukannya negeri Taliban.
Sehubungan itu, Sultan Johor mengarahkan pemilik terbabit memohon maaf atau berdepan penutupan.
Pemilik Elit Laundry yang enggan dinamakan itu kemudiannya memohon maaf dan menurunkan papan tanda itu.
Sumber: FMT
Sumber Reaksi berbeza, ramai netizen sokong konsep dobi Islam