Kisah Syarikat Gergasi Toys “R” Us Dan Isu Perlindungan Kebankrapan: Dimana Silapnya?

Toys “R” Us  adalah syurga dunia bagi kanak-kanak. Kanak-kanak yang melangkahkan kaki kedalam kedai ini pasti akan mengukir senyuman gembira, tidak kurang juga yang menangis teresak-esak sebaik sahaja dipaksa keluar daripada syurga mainan ini oleh ibu-bapa mereka tanpa membelinya.

#1-Sejarah Penubuhan Toys “R” Us.

Image result for toys r us founder

Charles Lazarus merupakan pengasas kepada Toys “R” Us yang pada asalnya merupakan pemilik kepada perusahaan menjual kelengkapan perabot untuk bayi bermula pada tahun 1948.

Kedainya yang pertama adalah di Washington D.C. Bagi mengembangkan perniagaan, Charles menambahkan produk-produk seperti patung permainan, replika gim kanak-kanak, beca roda tiga, koleksi buku kanak-kanak dan pelbagai produk lain.

Kedai ini kemudiannya digelar ‘Children’s Bargain Town’. Daripada kedai pertama ini, Charles telah menyewa ruang tingkat bawah sebuah kompleks membeli-belah yang dinamakan sebagai ‘Baby Furniture and Toy Supermarket’.

Namun, pada tahun 1957, apabila dia membuka kedai di Rockville, Maryland, nama tersebut tidak sesuai lagi untuk digunakan.

Daripada situ, tercetus nama baharu iaitu Toys “R” Us yang dieja dengan huruf ‘R’ secara terbalik.

Pada tahun 1966, Charles mempunyai kira-kira 4 cawangan kedai di kawasan Washington D.C. yang kemudiannya dijual kepada Interstate Stores Inc., sebuah syarikat yang mempunyai beberapa jabatan kecil dan rangkaian kedai-kedai yang banyak di kawasan yang berbeza.

Charles kekal menguruskan syarikat Toys “R” Us dan menukarkan ia menjadi rangkaian kedai yang besar. Direkodkan dalam tempoh itu, ia mempunyai 63 stor cawangan kedai dan 10 gudang besar di seluruh dunia.

#2-Kegagalan Pertama Toys “R” Us Dan Cara Mereka Mengatasinya.

Image result for toys r us history

Selepas 12 tahun membina nama dalam pasaran,  ia mengalami tanda-tanda bankrap dan pada tahun 1978, syarikat tersebut membuat penjenamaan semula dengan menamakan syarikat itu sebagai Toys “R” Us, Inc. manakala Charles dilantik menjadi Presiden merangkap CEO.

Dengan penjenamaan baharu ini, Charles meneruskan usaha untuk mengembangkan lagi Toys “R” Us  ke seluruh Amerika Syarikat.

Dia juga turut menambahkan jabatan baharu yang dinamakan ‘Children’s discount clothing division’, dan memperkenalkan konsep diskaun harga, kawalan inventori berkomputer, pembelian pukal, ‘supermarket’ terbuka mini dan banyak lagi.

Pada tahun 1983, mereka mencipta sejarah apabila berjaya membuat jualan sebanyak 1 billion dolar.

3 tahun selepas itu Dun’s Business Month, sebahagian daripada rangkaian The New York Times telah mengisytiharkan Toys “R” Us adalah salah satu daripada syarikat dengan pengurusan yang baik dalam negara

Ketika itu, mereka mempunyai  233 cawangan Toys “R” Us di seluruh Amerika Syarikat, 13 cawangan antarabangsa, 23 outlet dan 4 stor gudang.

Mereka bekerjasama dengan Montgomery Ward pada tahun 1986 untuk berkongsi kawasan namun dengan pengurusan yang berbeza. Ini mendatangkan kelebihan buat mereka di mana  Montgomery Ward mempunyai lokasi yang strategik.

Pada tahun seterusnya, mereka mengumumkan yang mereka akan merendahkan kadar cukai mereka untuk para pelanggan.

Hal ini merupakan yang pertama seumpamanya dalam sejarah peruncitan di Amerika dan Wal-Mart dan Target  melakukan perkara yang sama.

Pada tahun 1988, Toys “R” Us telah menjual ‘department’ terakhirnya bagi memberi fokus kepada penjualan permainan dan pakaian kanak-kanak.

#3-Toys “R” Us Menembusi Pasaran Global.

Image result for toys r us

Toys “R” Us telah berkolaborasi dengan syarikat McDonald’s di Jepun pada tahun 1989 untuk  membuka kedai mainan mereka di sana.

Syarikat McDonald turut memberikan potongan diskaun sebanyak 20% kepada Toys “R” Us sekiranya mereka dapat membuka restoran mereka di dalam stor kedai Toys “R” Us.

Pada awalnya, banyak syarikat-syarikat gergasi Amerika mengalami kesukaran untuk membuka cawangan mereka di negara matahari terbit itu kerana pelbagai peraturan dan protokol.

Pegawai US sendiri meminta pihak Jepun untuk memberikan kerjasama kepada usahawan-usahawan dari negara mereka.

Pembukaan Toys “R” Us yang pertama di Jepun adalah satu kejayaan besar bagi industri perniagaan Amerika dan peristiwa ini diraikan oleh Presiden George H. Bush sendiri di luar Tokyo pada tahun 1991.

Selepas melepasi fasa kesukaran dengan cawangan pertama di Jepun, Toys “R” Us telah berkembang pesat di peringkat global di 33 negara lain seperti Australia, Kanada, Perancis, Jerman, Jepan, Spain, dan United Kingdom.

Pada tahun 2006, mereka telah mempunyai 160 kedai di Jepun.

Ramai pakar dalam bidang industri menyifatkan yang ia adalah satu perkembangan yang baik dan melihat masa depan syarikat ini cerah dalam tempoh masa yang panjang walaupun situasi ekonomi agak suram.

Pada usia 71 tahun, Charles meletak jawatan sebagai Pengerusi dan CEO pada tahun 1994 dan digantikan oleh Robert Nakasone sebagai Presiden merangkap  COO.

#4- Toys “R” Us Terus Berkembang Dengan Pesat.

Image result for toys r us

Visi baharu mereka adalah untuk mencipta stesen hentian untuk mainan kanak-kanak. Mereka memperkenalkan ‘Superstores’, ‘Babies “R” Us stores’, dan ‘Concept 2000 Megastore’.

Dengan pengenalan konsep kedai yang baharu, mereka menjadi pengedar barangan bayi terbesar di Amerika Syarikat bermula pada tahun 1997.

Bagi memenuhi kehendak pasaran semasa dan memastikan operasi syarikat kekal relevan, pengurusan tertinggi Toys “R” Us bertukar ganti dari masa ke semasa.

Dengan pengurusan terbaharu juga, mereka turut bekerjasam dengan Amazon.com bagi kekal kompetitif dengan pesaing-pesaing utama mereka yang menggunakan platform online untuk membuat jualan yang tinggi.

Bagi memudahkan pelanggan mereka, Toys “R” Us telah membuka kedai “pop-up” ekpres di banyak kompleks membeli-belah dan pasar raya seluruh dunia.

Mereka juga turut mempelbagaikan produk seperti snek, gula-gula, minuman, peralatan membersih dan sebagainya untuk meluaskan target pasaran mereka.

Pada tahun 1999, Toys “R” Us telah tewas kepada pesaing mereka Wal-Mart Stores sebagai pengeluar dan pengedar mainan kanak-kanak terbesar di dunia.

Namun, mereka tidak berhenti disitu dan terus mengeluarkan barang mainan yang berkualiti melalui pelbagai inovasi dan penambahbaikan dari masa ke semasa.

#5- Ketinggalan Dibelakang Kerana Tidak Seiring Dengan Arus Pasaran Milenia.

Image result for toys r us history

Malangnya, pada Isnin lalu, Toys R Us telah memfailkan dokumen bagi permohonan perlindungan daripada bankrap kepada kerajaan US.

Dilaporkan mereka mempunyai hutang sebanyak $4.9 billion dolar, kadar bunga pinjaman sebanyak  $400 juta dolar yang harus dibayar pada tahun 2018 dan jumlah kadar bunga sebanyak $1.7 billion harus diselesaikan pada tahun 2019.

Semasa pengumuman ini, Dave Brandon, Pengerusi dan CEO Toy R Us memaklumkan yang 1,600 cawangan kedai mereka akan menyambung operasi seperti biasa.

Diharapkan perlindungan kebankrapan ini mampu memberi ruang kepada syarikat gergasi ini untuk bernafas dan tidak menjejaskan operasi mereka seperti biasa.

Perlindungan ini akan memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki situasi  kewangan mereka yang kritikal dan membuat penstrukturan semula syarikat bagi tujuan baik pulih sekaligus mengelakkan kebankrapan.

Mereka juga perlukan masa untuk menilai kembali strategi syarikat dalam arus pasaran terkini.

Hal ini bukanlah kali pertama berlaku dalam sejarah perniagaan dan konglomerat Amerika Syarikat. Syarikat lain seperti Payless ShoeSource dan Gymboree juga turut memfailkan perlindungan kebankrapan sejak dua tahun yang lalu.

Syarikat Toys “R” Us bukan sekadar syarikat mainan biasa dan tempat untuk kanak-kanak bermain sahaja, tidak dinafikan aset syarikat ini bernilai untuk dilupuskan begitu sahaja dek kerana kelemahan mereka dalam merangka strategi pasaran semasa yang relevan.

Apa yang pasti, Toys “R” Us adalah satu nama yang signifikan bagi orang ramai di seluruh dunia yang menggamit antara kenangan manis mereka sewaktu bergelar kanak-kanak.

Syarikat Toys “R” Us masih relevan untuk diteruskan bagi memenuhi keperluan generasi-generasi seterusnya namun dalam medium dan versi penyampaian,persembahan dan pendekatan yang berbeza.



Sumber Kisah Syarikat Gergasi Toys “R” Us Dan Isu Perlindungan Kebankrapan: Dimana Silapnya?

Post a Comment

Previous Post Next Post