KUALA LUMPUR: Saluran rasmi tinjauan Bajet 2018, bajet2018.najibrazak.com terus dihujani pelbagai pandangan dan idea berhubung isu yang dekat di hati rakyat.
Antara idea disuarakan orang ramai ialah memohon pembinaan hospital khas untuk kanak-kanak, pemansuhan bayaran lesen memandu dan tuntutan rebat cukai pendapatan.
Selain itu, orang ramai memohon supaya kerajaan meningkatkan bilangan sekolah agama serta fardu ain, meningkatkan elaun kakitangan awam dan elaun khas guru pelatih.
Mereka juga memohon pengiktirafan profesional untuk bidang kemahiran dan teknikal serta penetapan gred perkhidmatan politeknik, kolej komuniti mengikut kelayakan akademik.
Idea lain termasuk menurunkan kadar Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara, menubuhkan program dapur rakyat dan menyediakan pangkalan data bersepadu untuk semua agensi kerajaan.
Semua permintaan dan harapan itu disalurkan untuk pertimbangan kerajaan sejurus Datuk Seri Najib Razak malam tadi, meminta rakyat terus menyuarakan pandangan dan idea mereka untuk dipertimbangkan dalam pembentangan Bajet 2018.
Perdana Menteri berkata, pandangan terbabit boleh dikongsikan orang ramai menerusi laman sesawang rasmi, bajet2018.najibrazak.com.
"Apakah isu yang paling dekat di hati anda? Beritahu saya melalui tinjauan #Bajet2018 bermula hari ini hingga 6 Oktober menerusi laman rasmi, tinjauan bajet 2018," katanya dalam satu kenyataan di Twitter, sebentar tadi.
Bajet 2018 dijangka dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen pada 27 Oktober depan.
ends
Sumber Tuntut mansuh bayaran lesen, bagi rebat cukai pendapatan