KUALA LUMPUR: Pengasas syarikat produk kecantikan Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Hasmiza Othman, sekali lagi mengunjungi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dekat Datuk Keramat, untuk berjumpa keluarga dan ibu bapa 23 mangsa yang terkorban dan 18 mangsa yang terselamat, malam tadi.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, tiba kira-kira jam 9.15 malam dan disambut Pengetua pusat tahfiz, Mohd Zahid Mahmood, sebelum dibawa berjumpa semua keluarga terbabit yang berkumpul di Surau Ittifaqiyah, yang terletak bersebelahan pusat tahfiz berkenaan.
Suasana bertukar hiba apabila Vida dalam ucapannya, mengungkapkan rasa sedih dengan apa yang berlaku dan memahami perasaan serta keperitan yang sedang dilalui ibu bapa anak-anak tahfiz yang terkorban.
"Walaupun kejadian yang menimpa saya sudah empat tahun berlalu, saya masih merasai keperitan akibat kehilangan dua anak dalam kebakaran.
"Saya memahami perasaan setiap keluarga mangsa yang anak mereka terkorban dalam kejadian ini. Saya amat memahami kesedihan, kepedihan, keperitan anda.
"Namun kita perlu kuat, kekuatan untuk menempuh dugaan ini adalah anugerah Allah," katanya sambil menahan sebak.
Pada pertemuan itu, Vida turut mengumumkan bantuan kewangan berjumlah RM10,000 kepada keluarga mangsa yang kehilangan dua dan tiga anak sekali gus dalam kebakaran terbabit, manakala yang selebihnya menerima bantuan RM3,000.
"Saya juga akan aturkan urusan umrah untuk 18 anak-anak yang terselamat secepat mungkin, seawal-awalnya sebelum 20 Oktober depan.
"Saya juga takkan melupakan ibu bapa semua mangsa, Insya Allah kita juga akan bawa mereka menunaikan umrah... kita akan buat secara berperingkat.
"Saya tidak mahu hubungan ini terputus, saya akan jadikan semua anak-anak yang terselamat sebagai anak angkat, manakala semua keluarga mangsa, sebagai keluarga angkat," katanya.
Dalam pada itu, Vida turut meminta semua keluarga mangsa bersabar dengan dugaan ini dan tidak saling salah menyalah terutama kepada pihak pengurusan tahfiz yang turut terkesan akibat kejadian itu.
Khamis lalu, Vida mengunjugi pusat tahfiz berkenaan bersempena sambutan Awal Muharram 1439H dan mengumumkan akan membawa anak-anak tahfiz di situ serta lapan kakitangannya menunaikan umrah dalam masa terdekat.
Sumber Vida bantu keluarga mangsa kebakaran pusat tahfiz