KOTA KINABALU, 20 Sept — Pusat Zakat Sabah hari ini menafikan ada menawarkan bantuan RM400 kepada ibu bapa yang mempunyai tiga orang anak bersekolah pada tahun ini seperti mana mesej yang tular menerusi aplikasi Whatsapp sejak semalam.
Penolong Pegawai Komunikasi Korporat Pusat Zakat Sabah Azwan Ali berkata, “Pusat Zakat Sabah ada menawarkan bantuan pendidikan untuk anak-anak Sabah melanjutkan pelajaran, namun, bantuan tersebut bukan seperti yang ditularkan.
“Sejak mesej itu tular semalam, kami turut mendapat panggilan daripada orang ramai yang bertanya berhubung kesahihannya,” katanya ketika dihubungi di sini.
Sehubungan itu, Azwan berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh terus menghubungi Pusat Zakat Sabah di talian 088-279206.
Mesej yang tular itu antara lain memaklumkan bantuan tersebut diberikan secara ‘one-off’ dan dimohon setahun sekali sahaja, dengan jumlah bantuan masing-masing RM50 (tadika); RM75 (sekolah rendah agama dan sekolah rendah kebangsaan); dan RM125 bagi sekolah menengah agama dan sekolah menengah biasa. — Bernama
Sumber Zakat Sabah nafi bantuan tular RM400 sekeluarga