EKORAN pendedahan senarai sembilan buah filem yang gagal pecah panggung baru-baru ini, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Norman Abdul Halim tampil memberikan pendapatnya.
Baca:
Kutipan serendah RM4000, ini 9 filem tempatan yang tak laku di pawagam
Jelasnya, faktor-faktor seperti kandungan, pemasaran dan penjadualan filem merupakan tiga pemacu utama yang akan mempengaruhi jatuh bangun sesebuah filem.
Menurut pendapat Norman lagi, penonton akan lebih tertarik dengan beberapa faktor seperti pelakon yang terlibat, pengarah, syarikat produksi dan jenama filem tersebut.
Bagi pemasaran pula, syarikat-syarikat besar seperti Astro Shaw dan Primeworks Studios mampu ‘meletupkan’ sesebuah filem dengan kutipan sekurang-kurangnya RM10 juta jika dibandingkan dengan syarikat lain.
Bukan itu sahaja, Norman juga menambah antara masa yang sesuai filem ditayangkan di pawagam adalah pada suku tahun pertama dan suku tahun ketiga kerana kekurangan filem antarabangsa yang masuk ke pasaran Malaysia.
Oleh itu, Norman telah memberikan beberapa cadangan tentang bagaimana untuk meningkatkan kutipan filem-filem tempatan.
Antara langkah-langkah yang boleh diambil adalah penerbit-penerbit baharu perlu menjalinkan kerjasama dengan syarikat perfileman gergasi negara.
Hal ini kerana, usahasama itu bikan sahaja dapat menyediakan bajet yang lebih besar, malah mampu menyumbang kepada idea dan kandungan filem tersebut.
“Lagipun, penerbit baharu dan syarikat individu mempunyai banyak kekangan sumber, yang tentunya menyukarkan masing-masing menembusi pasaran filem tempatan,” katanya dipetik laporan BH Online.
Penerbit filem Hikayat Merong Mahawangsa ini turut berpendapat bahawa Jawatankuasa Skim Wajib Tayang perlu menapis filem-filem yang membuat permohonan tayangan dan hanya membenarkan filem-filem yang betul-betul layak dan menepati kriteria sahaja ditayangkan di pawagam.
“Perkara ini wajar dilakukan supaya penonton tidak tertipu dengan trailer filem yang disiarkan pada awalnya sebagai promosi. Menerusi pindaan syarat Wajib Tayang, ia membolehkan agensi terbabit menolak filem tidak menepati kriteria,”katanya.
Tetapi, bagi filem yang permohonannya ditolak, penerbit masih boleh membuat rayuan selain menggunakan platform digital seperti Astro First, Netflix dan Iflix untuk menayangkan naskhah mereka.
“Penggiat seni harus mengikut perubahan kerana penonton sekarang sudah beralih arah kepada platform digital. Selain itu, platform digital ini juga memberi peluang kepada penonton di sesetengah kawasan yang tidak mempunyai pawagam.
“Jadi, ia patut dijadikan platform tambahan buat penerbit untuk mendapatkan lebih banyak pulangan. Namun, perlu ada pelarasan agar filem yang ditayangkan di pawagam tidak terlalu cepat disiarkan menerusi platform itu.
“Ia bagi memberikan nilai eksklusiviti kepada penonton yang ke panggung,”tambahnya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM), Othman Hafsham berpendapat tiada kajian dilakukan penerbit, jalan cerita yang lemah serta kurangnya unsur universal antara sesebuah filem gagal mendapat sambutan daripada penggemar filem tempatan.
“Ramai produser baharu hanya tahu buat filem tetapi mereka tidak mengkaji pasarannya.
“Sekiranya filem itu bagus, tidak mustahil untuk karya terbabit mendapat sambutan kerana akan berlakunya cakap dari mulut ke mulut yang seterusnya mengajak penonton ke pawagam,” ujarnya.
Tetapi, Othman juga menyatakan yang kualiti filem semata tidak menjamin kejayaan filem yang dihasilkan.
Bukan hanya Norman sahaja berpendapat promosi filem penting bahkan Othman juga bersetuju dengan kenyataan itu.
Menurutnya, masalah kewangan dalam pemasaran turut menyumbang kepada kegagalan filem berstatus ‘pecah panggung’ kerana promosi ala kadar yang dilakukan di media sosial tidak memberi impak yang besar seperti kuasa media arus perdana lain.
“Malah diakui filem yang mempunyai bajet besar memang berjaya di pasaran. Selain dihasilkan dengan kualiti yang baik, mereka ada bajet untuk promosi. Faktor itu penting bagi menarik penonton ke pawagam,” ujarnya.
Tambah pengarah filem Karipap-Karipap Cinta ini lagi, anggapan sesetengah produser baharu terhadap penglibatan industri perfileman mampu mengaut untung tinggi menyumbang kepada berlakunya lambakan filem beberapa tahun lalu.
Namun, atas faktor persaingan yang tinggi, sesetengah filem mereka gagal mendapat tempat di hati penonton.
“Ini seterusnya menjejaskan kredibiliti industri perfileman kerana penonton kurang yakin dengan judul keluaran negara ini. Kesannya terus dirasai hingga sekarang,” katanya.
Sumber: MYNEWSHUB.CC
Sumber Ekoran pendedahan senarai 9 filem gagal: Norman KRU kongsi 3 faktor yang boleh buatkan sesuatu filem meletup di panggung