500 kuntum mawar 'hantaran' Fattah. (Pic: Alexander Hadreez Jr.)
Meraikan ulang tahunnya yang ke-34, 27 September lalu, aktres jelita Nur Fazura Sharifuddin mengaku sudah bersedia untuk mencari pasangan hidup. Bukan atas desakan sesiapa tetapi menurut Fazura atau lebih mesra disapa Faz ini, hatinya terbuka untuk berfikir secara serius untuk perkara itu disebabkan mahu menunaikan impian ibu serta peminat di luar sana yang tidak pernah jemu-jemu mendoakan kebahagiaan dirinya.
Menurut pelakon yang juga seorang penyanyi ini, jika sampai seru untuknya mendirikan rumah tangga, biarlah lelaki itu menepati ciri-ciri lelaki yang didambakannya selama ini.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk saya mencari pasangan. Manalah tahu tiba-tiba Allah bukakan pintu hati. Saya terima sahaja. Apapun saya tak berani nak kata lebih-lebih. Cuma bila ibu dan peminat saya doakan yang baik-baik, saya amin kan sahaja.
“Harapan saya juga, kalau bertemu jodoh itu biarlah lelaki itu nanti seorang yang baik, boleh menyayangi saya, membimbing dan menjadi pasangan yang melengkapi saya,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!
Penyanyi lagu Bisa Apa ini ditemui pada majlis sambutan ulang tahunnya serta pelancaran produk kesihatan miliknya, TruDolly yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.
Sebelum ini, setiap kali diajukan persoalan mengenai jodoh, jawapan yang diberikan Faz cukup klise. Katanya, terlalu fokus dengan kerjaya membuatkan dia tidak mempunyai masa untuk memikirkan soal peribadi apatah lagi untuk bercinta. yang tidak pernah surut.
Diusik dengan pertanyaan apakah pelakon Fattah Amin yang digosipkan mempunyai hubungan istimewa dengannya mempunyai ciri-ciri yang diharapkan itu, sambil ketawa Fazura menjawab “Insya-Allah”.
Pada majlis yang bermakna itu, Fattah yang juga gandingannya dalam drama rantaian Hero Seorang Cinderella turut membuat kejutan apabila menghadiahkan jambangan bunga gergasi iaitu 500 kuntuman mawar segar sebagai hadiah hari jadi. Belum pernah rasanya Fattah menghadiahkan bunga sebanyak itu pada mana-mana wanita sebelum ini.
Dan selalunya, itu adalah salah satu tanda yang wanita itu cukup istimewa di hatinya dan persahabatan yang terjalin, bukan sekadar teman kawan biasa. Andai benar telahan itu, maknanya Fattah seperti memberi amaran kepada mana-mana lelaki supaya tidak mendekati pemenang Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 itu.
“Sejujurnya tiada lelaki lain pun yang berani mendekati saya sebelum ini. Mungkin sebab saya sibuk dengan kerja. Fattah berani kerana kami pernah berlakon bersama. Bila selalu bersama tu yang dia berani nak dekati saya,” terangnya.
Dalam temubual itu juga, pelakon kelahiran Pekan, Pahang itu turut berkongsi mengenai perkahwinan idamannya andai satu hari nanti perkara itu menjadi kenyataan. Kata Fazura, dia lebih selesa dengan majlis serba ringkas serta diadakan di tepi pantai dengan dihadiri semua teman rapatnya.
“Pun begitu, saya sedar yang saya seorang selebriti. Sebagai seorang yang punya keluarga dan peminat, tentunya mereka mahu melihat saya bersanding. Kalau ikutkan, saya lebih suka majlis perkahwinan yang diadakan di tepi pantai, memakai gaun putih sambil mengenakan hiasan bunga segar di kepala serta disaksikan teman rapat,” luah Fazura.
Sumber “Insya-Allah” Ujar Fazura Ketawa Bila Ditanya Adakah Fattah Mempunyai Ciri-Ciri Lelaki Idamannya