PETRA JAYA: Penjawat awam Sarawak bakal menerima insentif khas pembayaran sebanyak sebulan gaji atau minimum RM2,000 yang dibayar pada Disember ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata seramai 22,549 penjawat awam di negeri ini menerima insentif berkenaan.
Katanya, pemberian sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri di atas dedikasi kumpulan berkenaan melaksanakan tugas yang diamanahkan.
"Kesan daripada kekukuhan kewangan kerajaan negeri, sebanyak RM45 juta diperuntukan bagi tujuan pembayaran insentif berkenaan.
"Pembayaran menunjukkan kerajaan negeri secara cekap dan berdisplin mengawal selia sumber kewangannya mengikut kemampuan.
"Saya yakin pembayaran insentif itu akan terus memberi motivasi dalam berkhidmat kepada masyarakat," katanya selepas membuat penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.
Sumber Insentif sebulan gaji atau minimum RM2,000