Syarikat perladangan perlu bantu cegah kematian gajah

KOTA KINABALU: Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia menggesa syarikat perladangan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam usaha mencegah kematian gajah.

Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WWF-Malaysia, Datuk Dr Dionysius Sharma, berkata kejadian terbaharu kematian gajah di Ladang Cenderamata, di Tawau bukan saja mengejutkan, malah menimbulkan kemarahan kerana ia adalah kes ketujuh kematian spesies yang dilindungi sepenuhnya itu dalam tempoh 14 bulan.

Katanya, ia menunjukkan seolah-olah status undang-undangnya hanya aksesori dan tidak perlu diambil serius.

"Jenayah teruk ini memerlukan penyelidikan menyeluruh dan pelaku terbabit perlu ditangkap agar boleh dihukum sepenuhnya.

"Langkah syarikat perladangan di mana bangkai ditemui yang melaporkan segera kepada pihak berkuasa bagus, namun sudah tiba masanya mereka perlu lebih berwaspada dalam mencegah kematian gajah," katanya dalam kenyataan di sini, sebentar tadi.

Semalam, media melaporkan bangkai seekor gajah jantan ditemui dengan tiga kesan tembakan di Ladang Cenderamata, terletak antara Jalan Merotai-Kalabakan, dekat sini.

Gajah dengan ketinggian 2.7 meter itu yang dipercayai ditembak pemburu haram ditemui pekerja ladang terbabit pada Selasa lalu, sebelum memaklumkannya kepada Jabatan Hidupan Liar.

Kes pembunuhan gajah terbabit adalah yang terbaharu di negeri ini selepas dua bangkai gajah Pygmy Borneo dengan satu daripadanya dipercayai dibunuh pemburu haram bagi mendapatkan gadingnya ditemui di lokasi berasingan di Tawau dan Kinabatangan, September lalu.

Dionysius berkata, gajah dibunuh hampir setiap bulan sejak Oktober tahun lalu sama ada oleh pemburu haram atau menjadi mangsa kepada konflik antara haiwan itu dan manusia.

Katanya, situasi itu melampaui kebimbangan khususnya bagi spesies yang semakin terancam dengan jumlah kurang daripada 2,000 ekor dianggarkan pada 2010 dan kebanyakan ditemui di Sabah.

"Pembunuhan gajah adalah umpama jenayah terhadap rakyat kerana gajah Pygmy Borneo adalah warisan yang harus dilindungi.

"Jika kita memilih untuk berdiam diri, ia memberi isyarat kepada pembunuh gajah bahawa kita menyokong tindakan mereka," katanya.



Sumber Syarikat perladangan perlu bantu cegah kematian gajah

Post a Comment

Previous Post Next Post