Pereka fesyen, Azzedine Alaia meninggal dunia di Paris

PARIS: Pereka fesyen kelahiran Tunisia, Azzedine Alaia, dilaporkan meninggal dunia di sini, hari ini pada usia 77 tahun.

Persekutuan Haute Couture dan Fesyen Perancis berkata, Azzedine yang terkenal dalam industri fesyen di Paris pada 1980-an dan 1990-an pernah menghasilkan pakaian untuk Greta Garbo, Grace Jones dan Lady Gaga, selain model terkenal Linda Evangelista, Cindy Crawford serta Naomi Campbell.

Hasil rekaannya turut menjadi pilihan bekas wanita pertama Amerika Syarikat, Michele Obama; penyanyi, Madonna dan pelakon Perancis, Marion Cotillard.

Dilahirkan dalam keluarga petani pada 1940, Azzedine yang gemar berpakaian hitam, memulakan kerjayanya dengan Christian Dior, Guy Laroche dan Thierry Mugler, sebelum menubuhkan syarikatnya sendiri.

"Walaupun mempunyai bentuk badan yang kecil, beliau nama besar dalam bidang fesyen," kata model Perancis, Inès de la Fressange dalam mesej di Twitter.

Sementara itu, Ketua Pengarah (UNESCO), Audrey Azoulay yang juga bekas Menteri Kebudayaan Perancis, berkata Azzedine berjaya menghubungkan elemen fesyen, seni bina dan arca, bagi menghasilkan pakaian yang menyerlah kecantikan tubuh wanita. - Reuters



Sumber Pereka fesyen, Azzedine Alaia meninggal dunia di Paris

Post a Comment

Previous Post Next Post