UPSR: Tiada lagi pengumuman calon paling banyak A

PELAPORAN Pentaksiran Sekolah Rendah yang akan diumumkan Khamis ini, bukan berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata, sebaliknya turut membabitkan tiga komponen lain dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Berbeza berbanding tahun sebelum ini, keputusan UPSR 2017 akan mengambil kira pentaksiran bilik darjah (PBD); pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum (PAJSK) serta pentaksiran psikometrik (PPsi).

UPSR: Tiada lagi pengumuman calon paling banyak A

UPSR: Tiada lagi pengumuman calon paling banyak A

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata, pelaporan itu tidak hanya mengambil kira banyak mana calon mendapat A dalam semua subjek, tetapi tiga komponen berkenaan turut diambil kira untuk melihat pencapaian murid secara keseluruhan.

“Setiap murid adalah unik, kita cuba untuk ‘memanusiakan’ murid hingga mencapai tahap penguasaan yang minimum, jadi sudah tiba masanya untuk kita supaya tidak lagi menumpukan kepada kecemerlangan murid berdasarkan keputusan akademik, tetapi pencapaian mereka secara holistik sebagai seorang insan.

“Selain akademik, perkara lebih penting adalah pembangunan karektor, kemenjadian murid dan menyediakan persekitaran pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang menyeronokkan,” katanya pada sesi taklimat kepada media berhubung pengumuman keputusan UPSR 2017 di Putrajaya, hari ini.

Amin berkata, kementerian percaya pembelajaran yang menyeronokkan juga membolehkan guru mengajar dalam keadaan tanpa tekanan, sekali gus mampu melahirkan murid lebih cemerlang.

Menurutnya, pada hari keputusan diumumkan guru akan memberi penerangan lanjut berhubung pencapaian anak mereka dalam akademik dan pentaksiran yang dilakukan sepanjang enam tahun di peringkat sekolah rendah.

Menerusi PBD, pentaksiran dilaksanakan semasa PdP dengan merujuk kepada dokumen standard Kurikulum dan Pentaksiran (DKSP) untuk melihat tahap penguasaan pembelajaran murid.

Tujuan pentaksiran dibuat untuk pembelajaran, sebagai pembelajaran dan mengenai pembelajaran menggunakan pelbagai jenis instrumen.

Sementara, melalui PAJSK murid ditaksir melalui SEGAK- Standard Kecergasan Fizikal bagi mengukur tahap kecergasan; Indeks Jisim Badan (BMI)- bagi merekod tinggi dan berat badan sebagai satu indikator kesihatan; Sukan-penyertaan sukan dan pencapaian sukan di sekolah, daerah, negeri, negara dan antarabangsa.

Murid juga ditaksir dalam Kokurikulum- penyertaan dan pencapaian dalam persatuan, unit beruniform dalam persatuan, unit beruniform di peringkat sekolah, negeri, negara dan antarabangsa, manakala ekstrakurikulum- penyertaan secara sukarela dalam dan luar negara di sekolah serta di dalam dan luar negara.

Menerusi pentaksiran PPsi dibuat untuk melihat kecenderungan murid dalam bidang yang diminati untuk murid arus perdana, manakala Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) bagi murid berkeperluan khas untuk mengukur pencapaian murid melalui pendekatan pentaksiran bersepadu dalam situasi sebenar keperluan murid.

Sumber: Metro



Sumber UPSR: Tiada lagi pengumuman calon paling banyak A

Post a Comment

Previous Post Next Post