Wartakan hutan tadahan air di Johor ― Liew Chin Tong

24 NOVEMBER ― Bulan lepas, penduduk-penduduk di kawasan seperti Johor Baru dan Kulai telah mengalami masalah catuan air kerana pencemaran ammonia.

Beberapa hari yang lalu, Kluang juga mengalami pemberhentian air 24 jam tanpa notis dan selama 60 jam di Layang-layang disebabkan oleh pencemaran ammonia.

Saya telah kerap kali membangkitkan tentang isu krisis air di Johor dalam persidangan Parlimen yang lepas. Masalah kekurangan bekalan air dan pencemaran sumber air mestilah ditangani dengan tegas dan segera.

Pada sesi perbahasan bajet peringkat jawatankuasa, saya telah meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili untuk menyatakan pelan jangka panjang yang konkrit bagi menjaga kawasan hutan tadahan air.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) perlulah mewartakan kawasan hutan tadahan air serta-merta dan bersedia adakan piawaian, garis panduan atau gubal akta supaya memastikan kawasan tadahan air ini tidak digunakan oleh apa-apa saja aktiviti yang lain.

Kawasan tadahan air bukanlah untuk aktiviti-aktiviti lain seperti aktiviti pertanian, perladangan dan penternakan.

Punca utama krisis air di Johor adalah kerana kebanyakan kawasan tadahan air telah dijadikan kawasan perladangan haram.

Ia juga menimbulkan masalah pencemaran kerana penggunaan kimia pembasmi serangga oleh ladang-ladang.

Saya telah menekankan tentang faktor-faktor utama krisis air di Johor dalam persidangan kamar khas pada 7 November 2016.

Pemangku Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Senator Devamany Krishnasamy juga telah mengesahkan di dalam kamar khas bahawa kawasan berhampiran dengan empangan telah diterokai untuk tujuan perladangan dan pertanian.

Oleh sebab itu kuantiti air mentah di Sungai Sembrong Kiri terjejas akibat pengambilan air bagi tanaman sayur, manakala tanaman berskala besar seperti pokok betik dan kelapa sawit di kawasan tadahan empangan Lebam dan Congok telah menyebabkan kuantiti sumber air mentah berkurangan.

Empangan Sembrong yang menyediakan keperluan air bagi Kluang, turut dikelilingi kebun-kebun serta ladang ternakan dan sawit. Malah kami melihat kuda sedang mandi-manda di empangan Sembrong.

Baru-baru ini, pencemaran ammonia oleh ladang ayam dan kilang memproses baja najis ayam ke Sungai Sayong dan Sungai Johor telah menjejaskan operasi LRA Sungai Johor, LRA Semangar dan LRA Tai Hong.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor telah memutuskan untuk menutup ladang dan kilang tersebut yang menyebabkan pencemaran ammonia dan membawa masalah catuan air.

Walaupun tindakan itu betul, ia tidak menyelesaikan masalah. Masalah ini perlu tindakan dari KeTTHA dengan perspektif jangka panjang.

Saya menyeru KeTTHA dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara mengemukakan piawaian untuk kawasan tadahan air dan menyenaraihitamkan (kaedah name and shame) empangan-empangan yang tidak mematuhi piawai tersebut.

Kerajaan persekutuan dan negeri mesti mengemukakan rancangan dengan perincian garis masa untuk memindahkan kesemua ladang sawit di sekitar empangan.

Selain itu, peruntukan dari kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri Johor pada tahun 2018 bagi Rancangan Bekalan Air Negeri Johor hanya RM10,790,000.

Ini agak tidak memuaskan dan saya rasa Johor memerlukan peruntukan yang lebih banyak supaya Johor boleh membaiki sistem bekalan airnya.

Ini adalah satu masalah yang saya rasa perlukan pelan jangka panjang, supaya kita tidak mengalami masalah ini hampir setiap bulan di Johor.

Kerajaan perlu mewujudkan dan meluaskan kawasan tadahan air demi memastikan kemampanan bekalan air untuk rakyat Johor dan di seluruh negara.

* Liew Chin Tong adalah pengerusi DAP Johor dan ahli parlimen Kluang.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.



Sumber Wartakan hutan tadahan air di Johor ― Liew Chin Tong

Post a Comment

Previous Post Next Post