Presiden Sahabat M.Nasir (SMN), Johan Arif memberitahu forum “Kembara Ke Solo” akan menjadi pemula program yang disusun bagi memenuhi kalendar 2018 dan 2019.
Katanya, forum tersebut akan membincangkan tentang kupasan dari segi muzik, lirik, sosio-budaya dan komersialisme terhadap tujuh album bersama Kembara dan album solo pertama pada 1979 dan kedua berjudul, "SOLO" pada 1989.
"Forum Kembara Ke Solo ini adalah siri pertama dari dua lagi forum yang akan diadakan pada 2018 dan 2019.
“Jadi untuk siri kedua nanti akan focus kepada "Saudagar Mimpi" ke "Phoenix Bangkit" dan siri ketiga adalah pasca album "Phoenix Bangkit", termasuk album terbaru beliau akan datang,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.Dua ahli panel terdiri dari Pengasas Tempatan Fest Mohd Nasier Rashid yang juga bekas editor ROTTW dan penulis lirik Hairul Anuar Harun.
Manakala kartunis dan editor majalah Gila-Gila, Ronasina akan bertindak sebagai moderator.
“SMN mahu membawa panelis yang bukan dari kalangan penggiat disekeliling M.Nasir.
“Kita mahukan sisi pandang yang sehabis neutral dan jujur jika boleh,” katanya lagi.
SMN berharap forum ini akan memberikan persepsi bahawa seni dan budaya popular sesebuah bangsa adalah satu entiti penting dalam pembentukan negara bangsa, pemupukan jatidiri dan menyumbang kepada khazanah seni negara.
“Perbincangan secara ilmiah sekaligus mengangkat karya M.Nasir ke satu tempat yang sewajarnya selain mengenengahkan juga beberapa individu penting yang sering dianggap sebagai ‘wira tak didendang’ evolusi muzik Melayu,” katanya.
Forum “Kembara Ke Solo” akan diadakan pada 16 Disember pukul 3 petang bertempat di Mini Auditorium Matic, Jalan Ampang di ibu negara.
Sumber Apa ada pada M.Nasir?