Belian pelabur asing tertinggi 7 bulan

KUALA LUMPUR: Pembelian oleh pelabur asing dalam pasaran saham tempatan meningkat RM495.3 juta pada minggu berakhir 15 Disember lalu, menjadikannya yang tertinggi dalam tempoh tujuh bulan.

Menurut nota penyelidikan MIDF Amanah Investment, ia mencatat peningkatan berbanding RM337.7 juta yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Bank pelaburan itu berkata, kenaikan pelaburan asing dalam pasaran saham tempatan meningkat dalam tempoh empat minggu secara berturut-turut.

"FBM KLCI (penanda aras pasaran saham tempatan) juga mengejutkan pasaran dengan mengetuai indeks penanda aras global yang lain dengan lonjakan keuntungan mingguan sebanyak 1.85 peratus.

"Penanda aras tempatan itu juga ditutup pada paras melebihi 1,750 mata, prestasi yang tidak dilihat dalam tempoh lebih sebulan.

"Berdasarkan pemerhatian, aliran masuk asing itu juga selari dengan perkembangan yang berlaku di negara serantau yang lain, khususnya Korea Selatan, Taiwan dan Filipina di tengah-tengah perkembangan positif dalam pelan pembaharuan cukai di AS," katanya dalam Laporan Aliran Dana Mingguan MIDF Research, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan itu turut menyatakan bahawa ringgit juga meneruskan aliran mengukuh bagi minggu ketujuh.

"Nilai mata wang tempatan itu meningkat 0.2 peratus untuk ditutup pada RM4.0795 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Menurutnya lagi, aliran masuk minggu keempat itu juga membawa kepada nilai pembelian asing terkini melebihi paras RM10 bilion iaitu RM10.2 bilion.

"Kali terakhir ia mengatasi paras RM10 bilion ialah pada minggu ketiga September lalu," katanya.



Sumber Belian pelabur asing tertinggi 7 bulan

Post a Comment

Previous Post Next Post