MELAKA: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka menafikan dakwaan ada nelayan yang layak, tidak menerima elaun sara hidup sejak awal tahun ini.
Pengarah LKIM negeri, Rosli Mustapa, berkata pihaknya menjalankan pemantauan ke atas semua rekod nelayan di negeri ini bagi memastikan kelayakan mereka untuk menerima elaun RM300 sebulan itu.
Beliau berkata, antara kelayakan perlu dipenuhi nelayan adalah mendapat lesen daripada Jabatan Perikanan dan ke laut sebanyak 120 kali dalam tempoh tiga bulan.
Bagaimanapun, katanya, syarat keluar menangkap ikan ada kelonggaran diberikan atas faktor tertentu, termasuk cuaca dan kesihatan.
"Apabila sistem kita mengesan nelayan tidak aktif ke laut atau cuma dua atau tiga kali sebulan keluar menangkap ikan, kita akan sekat elaun sara hidup mereka.
"Ini kerana, apabila mereka tidak ke laut, ia menunjukkan menangkap bukan keutamaan sumber pendapatan mereka.
"Namun, nelayan yang disekat elaun sara hidup boleh membuat rayuan. Kita akan siasat situasi sebenar sebelum menilai semula kelayakan. Jika mereka benar-benar layak, elaun akan diberi semula," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di sini, hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka, Ramli Hassan.
Rosli bagaimanapun tidak menafikan ada segelintir nelayan ke laut mengikut kemahuan sendiri, malah mengambil kesempatan terhadap kemudahan elaun sara hidup terbabit.
"Kita perlu kaji, siasat dan tapis rekod nelayan kerana mereka diberikan banyak kelebihan. Kita tidak mahu peruntukan itu disalurkan kepada individu yang tidak layak," katanya.
Beliau berkata, LKIM membuat keputusan dan tindakan berdasarkan prosedur ditetapkan bagi mengelakkan isu berbangkit.
"Apabila siasatan dijalankan, kita dapati ada bot nelayan sudah berlumut, namun mereka masih mendakwa turun ke laut.
"Ada juga nelayan yang mendapat pekerjaan lain, tetapi tidak memaklumkan kepada jabatan berkaitan semata-mata untuk memperoleh elaun," katanya.
Untuk rekod, ada 983 nelayan berdaftar dengan tiga persatuan di Melaka setakat ini.
Sumber LKIM sekat elaun nelayan tak jujur