KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati transaksi pindah hak milik tanah FELDA di Jalan Semarak di sini, yang bernilai lebih RM200 juta, menjurus kepada kelemahan tadbir urus dan pecah amanah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata pihaknya sudah meneliti maklumat berhubung kes itu setelah menerima laporan beberapa bulan lalu.
Katanya, penelitian pihaknya mendapati tiada unsur rasuah serta salah guna kuasa dalam kes berkenaan.
"Ia menjurus kepada kelemahan tadbir urus dan pecah amanah.
"Justeru, kes itu dirujuk kepada polis untuk tindakan lanjut. Kami juga mendapat maklum bahawa FELDA turut melaporkan perkara itu kepada polis dan ia masih dalam siasatan pihak berkuasa itu," katanya kepada BH.
Azam berkata, jika polis mendapati wujud elemen jenayah rasuah dan salah guna kuasa, SPRM mengalu-alukan pihak polis untuk berkongsi maklumat yang diperoleh untuk tindakan lanjut.
"Polis juga boleh terus menjalankan siasatan kerana mereka juga mempunyai kuasa untuk menyiasat kes membabitkan rasuah," katanya.
BH hari ini mendedahkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Tanah itu kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik FELDA dikenali sebagai KLVC Tower1A.
Carian dalam portal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati Menara KLVC Tower1A sudah diluluskan untuk dimajukan dengan bangunan pejabat 68 tingkat meliputi 59 tingkat pejabat, dua tingkat podium pejabat termasuk parkir, enam tingkat tempat letak kereta, dua tingkat parkir bawah tanah, taman atas bumbung dan helipad.
Sumber memberitahu BH, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.
Sumber Polis siasat kes pindah milik tanah FELDA