PELAKON Datuk Farid Kamil tidak menghiraukan kecaman segelintir netizen terhadapnya berhubung pengurniaan gelaran Datuk dalam Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan, hari ini.
Penerbit Filem FKX Sdn Bhd berusia 36 tahun itu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk bersama artis kelahiran Singapura, Aaron Aziz.
Farid atau Farid Kamil Zahari berkata, netizen yang mengeluarkan kata kecaman itu tidak mempunyai ilmu mengenai adat Kesultanan Melayu Pahang.
“Siapa netizen itu (yang mengecam)? Yang menganugerahkan darjah ini adalah atas titah Sultan Pahang.
“Mereka ini (netizen) tidak mempunyai ilmu dan pembelajaran khusus mengenai adat Kesultanan Melayu Pahang, lebih baik mereka diam,” katanya ditemui selepas istiadat itu.
Farid dan Aaron antara 167 penerima darjah dan kebesaran Pahang yang disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Farid yang segak memakai baju Melayu berwarna hitam ditemani isterinya yang juga pelakon, Diana Danielle.
Dalam pada itu, Farid juga menzahirkan kesyukuran terhadap pengurniaan itu dan menganggap ia adalah sejarah baginya sepanjang bergelar anak seni.
Sementara itu, Aaron Aziz menganggap pengurniaan darjah kebesaran itu memberinya semangat untuk terus menyumbang bakti dalam aktiviti kemasyarakatan.
Beliau akur dengan titah Tengku Abdullah yang mahu melihat supaya mereka menerima kurniaan Pahang termasuk golongan artis untuk turut sama membantu rakyat negeri ini semasa berlaku musibah seperti banjir yang lazim melanda setiap tahun.
“Sebelum ini saya sememangnya aktif dan selalu turun padang melakukan aktiviti kemasyarakatan di seluruh negara dan selepas ini akan lebih banyak aktiviti seumpama itu akan disertainya.
“Ini adalah penghargaan terbesar bagi saya dan pastinya tanggungjawab lebih berat,” katanya.
Dalam istiadat itu juga, enam Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang yang menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) dan menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pendorong untuk mereka berkhidmat lebih baik kepada rakyat Pahang.
Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Shafik Fauzan Sharif, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Datuk Abu Bakar Harun, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Datuk Mohd Johari Hussain.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Datuk Norol Azali Sulaiman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Sumber: Metro
Sumber “Tak faham baik diam” – Datuk Farid Kamil bidas kecaman netizen tentang penganugerahannya