WANITA sarat mengandung lapan bulan maut dihempap rak kasut yang digantung di dinding luar rumah dalam kejadian di sebuah rumah di Seksyen 23, Shah Alam malam tadi.
Rak kasut itu jatuh sebelum menghempap kepala mangsa.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, Norhaslin Harun, 35, meninggal dunia di rumahnya akibat kecederaan yang dialami.
Suaminya, Izri Sham Hussin, 36, berkata, kelmarin isterinya memberitahu rak kasut yang dipasang di luar rumah kira-kira dua tahun lalu itu sudah dimakan anai-anai dan renggang dari kedudukan asal.
Sebelum kejadian katanya, mereka sekeluarga baru selesai makan di ruang tamu rumah.
“Isteri saya keluar menutup pagar utama rumah kami dan saya percaya dia cuba betulkan rak kasut itu kerana ia sudah renggang.
“Bagaimanapun rak yang berukuran lapan kaki tinggi dan empat kaki lebar yang digantung pada dinding tercabut dan menghempap isteri saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.
Izri Sham berkata, isterinya mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan termasuk kepala.
“Saya kemudian menghubungi hospital, bagaimanapun isteri disahkan meninggal dunia di lokasi akibat pendarahan teruk.
“Isteri saya dibawa ke hospital dengan ambulans untuk menyelamatkan kandungan namun bayi perempuan yang dikandungnya juga gagal diselamatkan,” katanya.
Bapa kepada tiga cahaya mata berusia empat hingga sembilan tahun itu berkata, dia reda dengan kejadian berkenaan.
Jenazah arwah yang berasal dari Negeri Sembilan itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, kira-kira jam 11 pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima laporan kejadian jam 7.35 petang selepas mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dihempap rak simpanan kasut yang mengenai kepala di rumahnya,” di rumahnya.
Shafien berkata, siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sumber: Metro
Sumber Tragedi rak kasut, 2 dijemput Ilahi