Amanah sasar 20 kerusi boleh menang

Khalid Samad berkata memenangi 20 kerusi yang disasarkan itu akan dilihat sebagai prestasi yang cukup mengagumkan bagi partinya.

khalid-samad-amanahPETALING JAYA: Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata Amanah menyasarkan sekurang-kurangnya menang di 20 kerusi daripada 27 yang akan ditandingi di Malaysia Barat pada pilihan raya umum nanti.

Beliau berkata memenangi 20 kerusi yang disasarkan itu akan dilihat sebagai prestasi yang cukup mengagumkan bagi partinya, yang secara rasmi diasaskan pada September 2015.

“Ini pilihan raya umum pertama yang dihadapi Amanah. Dapat menang 20 kerusi Parlimen jauh lebih baik daripada parti yang nak bertanding sampai 100 tapi menang 2, 3 kerusi,” katanya dalam program Fokus yang menjelaskan pembahagian kerusi Parlimen Pakatan Harapan, dan disiarkan secara langsung di Facebook Amanah.

Konvensyen PH Ahad lalu mengumumkan Amanah akan bertanding 27 kerusi, PPBM 52 kerusi, PKR 51 kerusi dan DAP 35 kerusi.

Tidak lama selepas itu Amanah di beberapa negeri dilaporkan tidak berpuas hati dengan pembahagian tersebut.

Khalid menjelaskan 27 kerusi itu merupakan kerusi yang diminta dan diserahkan kepada Amanah.

“Kalau di Selangor saya beri contoh Shah Alam, Kota Raja, Sepang, Hulu Langat, Kuala Selangor…ini adalah kerusi-kerusi yang kita minta dan kita perolehi,” katanya.

“Oleh kerana pada ketika saat terakhir yang begitu mendesak akhirnya kita terpaksa menyerahkan Titiwangsa kepada PPBM maka akhirnya tak ada kerusi untuk ditandingi oleh Amanah.”

Bagaimanapun, Khalid berkata Amanah akan membawa perkara itu ke majlis presiden PH supaya pertukaran kerusi boleh dilakukan dan partinya dapat bertanding di Kuala Lumpur.

“Jentera kita pun akan turun dengan penuh bersemangat di semua kawasan Wilayah Persekutuan kerana mereka tahu di kerusi yang kita tandingi juga dibantu oleh rakan-rakan kita,” tegasnya.

Mengenai pembahagian kerusi DUN, Khalid berkata rundingan masih sedang berjalan antara komponen PH.

Khalid berkata ada kemungkinan kerusi DUN di setiap Parlimen akan menyaksikan peletakan calon-calon parti rakan.

“Seboleh-bolehnya kalau Parlimen itu ditandingi Parti A maka DUN akan ditandingi Parti B dan Parti C. Kalau ada 3 DUN, Parti B, Parti C dan mungkin Parti A balik,” katanya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Amanah sasar 20 kerusi boleh menang

Post a Comment

Previous Post Next Post