Salleh Said Keruak berkata Dr Mahathir Mohamad harus mengikut prosedur melawat mana-mana banduan.
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad patut tahu ada prosedur disediakan untuk melawat banduan, kata Salleh Said Keruak hari ini.
“Terdapat prosedur yang perlu dipatuhi dan Dr Mahathir, sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan sepatutnya menjadi orang pertama untuk menunjukkan tauladan yang baik dengan tidak menyalahgunakan kuasanya atau melanggar undang-undang.
“Jika tidak, beliau hanya akan mengajar rakyat Malaysia bahawa jika anda adalah ‘seseorang’ maka anda tidak perlu mengikut undang-undang,” kata menteri komunikasi dan multimedia di blog hari ini.
Salleh mengulas laporan berita hari ini melaporkan pihak berkuasa penjara tidak membenarkan Dr Mahathir melawat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar sedang menjalani rawatan pemulihan di Hospital Rehabilitasi Cheras selepas pembedahan bahu di Hospital Kuala Lumpur pada November.
“Dr Mahathir tahu bahawa seseorang itu tidak boleh sewenang-wenangnya berjumpa dengan banduan.
“Adakah Dr Mahathir mengikut prosedur yang betul? Malah, isteri banduan pun tidak dapat melawat suaminya di penjara jika tidak mengikut prosedur yang betul.
“Isteri dan peguam banduan perlu terlebih dahulu memohon kelulusan daripada pihak penjara sebelum mereka dibenarkan melawat tahanan pada tarikh dan masa yang ditetapkan.”
Salleh menjelaskan lawatan mengejut tidak dibenarkan dan lawatan yang diluluskan juga tidak boleh melebihi masa dan jumlah jam yang dibenarkan dalam tempoh seminggu.
“Adalah kelihatan pelik Dr Mahathir tidak mempunyai sebarang minat untuk melawat Anwar semasa dipenjarakan sebelum ini,” kata Salleh.
Anwar dipenjarakan dari 1998 hingga 2004 dan kemudian dari 2015 hingga hari ini. Tetapi Dr Mahathir tidak pernah mahu melawat Anwar di penjara, tambah Salleh.
“Pada tahun 1998, Anwar telah dimasukkan ke hospital kerana ‘mata lebam’ dan Dr Mahathir tidak memperlihatkan sebarang kebimbangan mahupun mahu melawatnya.
“Bagaimanapun, sejak Dr Mahathir memerlukan Anwar untuk menyokongnya sebagai calon Perdana Menteri bagi pihak Pakatan Harapan, tiba-tiba sahaja beliau begitu teruja untuk melawat Anwar di penjara.”
Dr Mahathir memberitahu pemberita pihak atasan di Kementerian Dalam Negeri tidak membenarkan beliau melawat Anwar.
“Saya mahu berjumpa dengan dia dan berterima kasih kerana
Dr Mahathir memberitahu pemberita bahawa beliau mahu bertemu Anwar untuk berterima kasih secara peribadi kerana memudahkan rundingan calon perdana menteri Pakatan Harapan.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun kerana meliwat.
Jabatan Penjara dilaporkan berkata Anwar akan tamat menjalani hukuman penjara 5 tahun pada 10 Jun ini, dan akan dibebaskan pada hari bekerja, 8 Jun, selepas diberi 1/3 remitan daripada hukumannya.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Sumber Salleh: PM pun perlu patuh peraturan lawat banduan