TANJONG KARANG: Terpedaya dengan janji mendapat kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR), lebih 40 pembeli rumah kerugian sekurang-kurangnya RM250,000 selepas membeli borang permohonan yang sebenarnya percuma.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, berkata kementeriannya menerima aduan daripada pembeli rumah yang mendakwa ditipu individu tertentu.
Katanya, mereka mendakwa individu terbabit menjual borang permohonan untuk skim perumahan bagi rakyat berpendapatan rendah sejak beberapa tahun lalu.
Beliau berkata, penipuan itu disedari selepas pembeli mendapati nama mereka tidak tersenarai untuk memiliki rumah PPR.
"Ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjual borang permohonan untuk rumah PPR.
"Saya ingin maklumkan borang permohonan untuk rumah PPR atau apa saja borang perumahan bawah kerajaan Persekutuan seperti MyHome, MyDeposit, PR1MA diberi percuma. Tidak ada satu janji pun bahawa (pemohon) mesti dapat (rumah) kerana tapisan ketat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Kelestarian Warisan Alam di Kampung Sungai Sireh, di sini, hari.
Noh berkata, pembeli terbabit mengaku dijanjikan oleh individu terbabit bahawa mereka pasti mendapat rumah PPR yang dipohon selepas membayar RM2,000 hingga RM10,000 bagi setiap borang.
Katanya, pembeli hanya menyedari mereka tertipu selepas nama mereka tidak tersenarai atau projek berkenaan tidak berjalan.
Beliau berkata, apabila disemak, ada borang yang tidak dihantar langsung kepada kementeriannya, manakala bagi borang yang dihantar, nama pemohon berada dalam senarai ditolak.
"Saya juga ingin tegaskan individu yang menipu ini tiada kaitan dengan UMNO atau orang dalam kementerian.
"Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran istimewa, murah dan sebagainya. Buat laporan jika ada terima tawaran dan bertanya kepada KPKT supaya tidak tertipu.
"Kalau sudah tertipu, duit sudah bayar baru datang berjumpa, mereka (mangsa) hanya boleh ambil tindakan dari segi undang-undang dan buat laporan kepada pihak berkuasa," katanya.
Noh berkata, pihaknya juga sudah menasihatkan pembeli rumah terbabit untuk membuat laporan polis dan akan melihat setiap kes bagi membantu mereka mendapatkan rumah melalui cara yang sah.
Sumber Bayar duit borang RM10,000, rumah PPR dijanjikan tak dapat