Datuk Seri direman lima hari kes terowong dasar laut

Individu bergelar Datuk Seri direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes terowong dasar laut Pulau Pinang. — Foto oleh Yusof Mat IsaIndividu bergelar Datuk Seri direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes terowong dasar laut Pulau Pinang. — Foto oleh Yusof Mat IsaPUTRAJAYA, 25 Jan — Seorang pengerusi syarikat perunding kejuruteraan bergelar Datuk Seri direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Perintah reman bermula hari ini itu dikeluarkan oleh Majistret Fatina Amyra Abd Jalil di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini.

Lelaki berumur 62 tahun itu dipercayai terbabit dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan tiga jalan utama dan terowong di negeri berkenaan yang bernilai lebih RM305 juta kepada kerajaan negeri Pulau Pinang.

Suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, kira-kira 2.44 petang semalam.

Difahamkan, firma kejuruteraan suspek yang berpangkalan di Kuala Lumpur pernah terbabit dalam pelbagai projek mega, antaranya pembinaan sebuah jambatan di Pulau Pinang, terminal bas di ibu negara dan menaik taraf sebuah lapangan terbang negeri.

Penahanan suspek menjadikan seramai empat individu telah ditahan SPRM setakat ini bagi membantu siasatan projek berkenaan.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith Construction, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar. — Bernama



Sumber Datuk Seri direman lima hari kes terowong dasar laut

Post a Comment

Previous Post Next Post