KUALA LUMPUR, 16 Jan — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyita rumah penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) jika terdapat bukti mereka membuang sampah atau sebarang objek daripada tingkat atas ekoran kejadian seorang remaja lelaki maut selepas sebuah kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas Blok 102 PPR Seri Pantai, Pantai Dalam, semalam.
Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Wan Mohammad Ghazali Nor berkata hal seumpama itu bukan pertama kali berlaku di PPR kerana sebelum ini, DBKL mengeluarkan notis kepada seluruh penduduk PPR sekitar Kuala Lumpur berhubung perkara berkenaan.
“Kami tahu perkara ini tidak boleh dibiarkan di mana sesetengah penghuni PPR dikatakan bertindak sedemikian dan DBKL keluarkan notis kepada semua unit PPR supaya mengambil perhatian mengenai kes-kes pembuangan sampah atau sebarang objek.
“Selepas ini, DBKL akan buat semula ulangan notis keras dan jika berlaku kes sedemikian lagi, DBKL akan kesan pemilik PPR dan kami akan mengambil tindakan tegas malah sehingga ke peringkat menyita rumah penghuni PPR,” katanya ketika menziarah keluarga mangsa di PPR Seri Pantai.
Wan Mohammad berkata DBKL juga akan memasang jaring keselamatan di setiap blok PPR bagi mengurangkan risiko kemalangan akibat sikap penghuni yang suka membaling barang dari tingkat atas.
Beliau berkata tindakan itu akan diambil secepat mungkin dengan memberi tumpuan kepada PPR yang dikenal pasti sebagai kawasan ‘hotspot’ terlebih dahulu sebelum memperluaskannya di PPR lain.
“Ketika ini, terdapat 72 PPR dan perumahan awam di ibu negara dengan 13 daripadanya dikenal pasti polis sebagai ‘hotspot’. Oleh itu, dengan pemasangan jaring sama ada di bawah atau atas blok untuk melindungi orang awam daripada terkena balingan sampah atau objek dari atas,” katanya.
Semalam, seorang remaja lelaki maut selepas sebuah kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas pangsapuri di Blok 102 PPR Seri Pantai, Pantai Dalam.
Terdahulu turut hadir menziarah keluarga mangsa adalah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan dan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. — Bernama
Sumber DBKL sita rumah jika buang sampah dari tingkat atas