FA buka kertas siasatan kes Firmino, Holgate

LONDON: Persatuan Bolasepak (FA) akan membuka kertas siasatan susulan insiden pertelagahan di antara pemain Liverpool, Roberto Firmino dengan pemain Everton, Mason Holgate ketika perlawanan pusingan ketiga Piala FA, awal pagi tadi.

"FA mengesahkan pengadil, Bobby Madley melakukan tindakan susulan mengenai insiden membabitkan perlawanan antara Liverpool serta Everton di Anfield dan sudah pun melaporkannya kepada FA, yang kini akan melakukan siasatan berhubung perkara itu," jelas FA, hari ini.

Insiden berlaku apabila Holgate menolak Firmino, 26, ke papan iklan pada minit ke-40 dan penyerang Liverpool itu bertindak balas dengan menjerit perkataan berbaur perkauman terhadap pertahanan muda Everton itu.

Holgate kemudian mengadu kepada pengadil mengenai komen Firmino dan Madley kemudian berbincang dengan pegawai perlawanan keempat.

Ditanya sama ada Holgate menggunakan perkataan berbaur perkauman terhadap Firmino, pengurus Everton, Sam Allardyce berkata: "Saya akan beritahu anda selepas siasatan, apa yang berlaku dan tidak berlaku.

"Saya hanya bercakap mengenai bola sepak, bukan perkara membabitkan kontroversi. Mereka berdua perlu berurusan dengan pihak yang berkaitan."

Allardyce juga enggan menyatakan sama ada beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Holgate: "Sama ada saya sudah melakukanya atau tidak, saya tidak akan beritahu sesiapa pun di sidang media.

"Saya sudah maklumkan kepada Pengarah Bola Sepak (Steve Walsh) untuk menyelesaikannya." - Reuters



Sumber FA buka kertas siasatan kes Firmino, Holgate

Post a Comment

Previous Post Next Post