CHUKAI: Seorang ibu melalui detik cemas apabila anak lelakinya berusia tujuh tahun terperangkap sendirian di rumah ketika banjir memenuhi kediaman mereka.
Rozita Mohamad, 52, berkata ketika kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi, dia baru selesai bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah institusi pendidikan di Kijal.
Beliau berkata, anak lelakinya, Muhammad Alfielail Rayyan Ismail, tinggal bersama kakaknya, Nur Nadiatul Amalina, 23, ketika dia keluar bekerja.
"Ketika air mula memenuhi rumah, Nur Nadiatul meninggalkan adiknya bersendirian kira-kira setengah jam dan mengharungi banjir untuk meminta bantuan rakan menyelamatkan adiknya dan mengalihkan barangan rumah.
"Saya sendiri tidak dapat memasuki kawasan rumah kerana semua laluan dipenuhi air. Dalam perjalanan keluar dari kawasan rumah, saya bertemu Nur Nadiatul yang memaklumkan adiknya masih berada dalam rumah.
"Mengiggil tubuh saya mendengar anak bersendirian di rumah kerana air ketika itu semakin naik memenuhi rumah kami. Saya dan Nur Nadiatul tidak dapat berbuat apa-apa kerana air sudah tinggi," katanya.
Beliau berkata, tanpa berlengah dia kemudian ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok, untuk meminta pertolongan menyelamatkan Muhammad Alfielail Rayyan.
Katanya, beberapa petugas penyelamat segera ke rumahnya dan berjaya menyelamatkan anaknya itu menggunakan sampan.
"Saya bersyukur anak selamat, namun tidak sangka dalam tempoh setengah jam air naik begitu pantas dan memenuhi rumah termasuk rumah penduduk lain," katanya.
Sumber Ibu cemas anak terperangkap dalam rumah dilanda banjir